MELAKA – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melalui pusat Zakat Melaka (PZM) menyasarkan kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM162 juta pada tahun ini merangkumi zakat fitrah dan zakat harta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zohaime Muhamad Sori berkata, daripada jumlah tersebut, kutipan zakat fitrah yang disasarkan adalah sebanyak RM6.9 juta, meningkat RM3 juta berbanding RM6.6 juta pada tahun lalu.
“Untuk tahun ini, kita meletakkan sasaran RM162 juta secara keseluruhan melibatkan zakat fitrah dan zakat harta, dengan zakat fitrah sahaja sebanyak RM6.9 juta.
“Dari segi kaedah pembayaran pula, terdapat peningkatan pembayar menggunakan platform dalam talian seperti iZakat dan laman sesawang rasmi, namun kaedah fizikal masih menjadi pilihan majoriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Sinar Kasih Ramadan Bersama Anak-Anak Asnaf anjuran Zakat Melaka dan Sinar Jernih Sdn. Bhd. di gedung tekstil Jakel, Taman Bukit Piatu Mutiara di sini hari ini.
Program tersebut melibatkan 60 kanak-kanak fakir, miskin dan yatim yang diraikan menerusi pembelian kelengkapan pakaian raya serta pemberian duit raya.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Mengulas lanjut beliau berkata, jumlah kutipan zakat keseluruhan pada tahun lalu adalah sebanyak RM145 juta, berbanding sasaran RM153 juta yang ditetapkan.
“Pada tahun lepas kita tidak mencapai sasaran, namun jumlah kutipan melebihi tahun sebelumnya.
“Kutipan dan agihan zakat dilaksanakan secara berasingan, dengan MAIM bertanggungjawab mengurus serta menyalurkan dana yang dikutip kepada golongan terlibat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














