fbpx
GAMBAR HIASAN

Penganggur bunuh ibu kandung kekal dijel 40 tahun, 12 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seorang penganggur yang membunuh ibu kandungnya sebelum jasad wanita itu ditemukan dalam tangki septik di belakang rumah mereka, lapan tahun lepas kekal dihukum penjara 40 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas menolak rayuan akhir Mohammad Firdaus Ismail, 37, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Ogos 2024.

Hakim Wan Ahmad Farid, berkata kesalahan dilakukan perayu adalah kejam dan tidak berperikemanusian kerana dia telah membunuh ibu yang melahirkannya.

“Perbuatan itu adalah keji dan cela serta cara kesalahan dilakukannya kejam dengan pelupusan mayat si mati telah menambahkan lagi keseriusan kes. Oleh itu, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pada 15 April 2022, Mahkamah Tinggi Butterworth menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohammad Firdaus, selepas didapati bersalah membunuh Faridah Mat Hashim, 63, di rumah mereka di Mukim D, Jalan Bharu, Balik Pulau, Pulau Pinang antara 6.30 pagi dan 8 malam pada 9 September 2018.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Sept 2018 dengan 12 sebatan rotan.

Terdahulu, peguam Datuk Seri K. Kumaraendran memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan perayu telah insaf.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim berkata hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan adalah tidak berlebihan dan mahkamah ini perlu memberikan pemberatan, lebih kepada kepentingan awam.

“Perayu bukan hanya membunuh ibu kandungnya sendiri tetapi meletakkannya ke dalam tangki septik sehingga tujuh hari dan ditemukan dalam keadaan berulat,” katanya.

Beliau berkata terdapat dua serangan di bahagian leher dan ia dilakukan oleh perayu sendiri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI