Bukti perairan Pontian ‘kaya’ dengan kerapu ‘boron’, terutamanya jika trip kena pada masa dan arus yang tepat.

Kerapu ‘boron’ buruan pemancing di laut Pontian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERAIRANNYA yang dipenuhi profil dasar yang berkawah dan beralun dengan tompokan karang rendah menjadikan laut Pontian di Johor lubuk yang didiami oleh ikan kerapu bersaiz besar.

Di sinilah kerapu ‘boron’ membina reputasinya sebagai ikan yang tidak boleh dipaksa, hanya boleh dipujuk.

Namun apabila ia membaham umpan, tiada jalan lain, hanya dengan kekerasan sebagai jalan untuk menghelanya naik.

Pelawaan Firdaus Shahrudin atau Daus YFT untuk turut serta ke Pontian beberapa minggu lalu membuatkan saya terus bersetuju tanpa syarat. Mana tidaknya, sudah lama kerapu ‘boron’ termasuk dalam senarai ‘buruan’ saya.

Trip ini turut disertai oleh Din Pomen, Pak Lang Rey, Ramdan, Rudy dan Hafizuddin, di mana masing-masing penuh pengalaman dalam memburu kerapu ‘boron’.

Tekong

Trip ini bermula dari Jeti Pantai Rekreasi Sungai Punggur, seawal pagi ketika matahari masih rendah dan bau air masin bercampur lumpur muara masih kuat.

Di jeti, Sani Hamidun, seorang tekong tempatan yang cukup besar reputasinya dan penuh pengalaman sedia menunggu di dalam bot.

Walaupun saya pertama kali turun ke Pontian, namun tekong tidak lokek berkongsi cara pancingan kerapu ‘boron’.

Dia juga cukup ‘tajam’ dalam membaca perubahan arus.

Di Pontian, tekong seperti Sani bukan hanya memandu bot ke lubuk, sebaliknya mereka merupakan penterjemah antara kehendak pemancing dan kehendak laut.

Senjata

Objektif trip ini jelas sejak awal iaitu memburu kerapu ‘boron’ menggunakan teknik seret umpan di dasar laut.

Tiada kaedah jigging agresif, pendekatan yang dipilih lebih berat dan perlahan.

Jighead seberat 200 hingga 250 gram dicangkuk seekor sotong kurita hitam yang diimport dari Indonesia sebagai umpan utama.

Disarankan, joran berkekuatan aksi berat dengan tali utama 80lb, manakala untuk leader pula minima flurocarbon 100lb apabila kerapu ‘boron’ menjadi agenda utama.

Saya memilih menggunakan joran jigging prototype, Rentaka Enigma PE 4-5 yang dipadankan dengan kekili PENN Fathom II berkekuatan drag 15 kilogram (kg).

Kebiasaannya untuk jighead, ia boleh dibeli terus daripada tekong, dan harga bergantung kepada berat setiap jig.

Umpan sotong kurita hitam beku berharga sekitar RM60 hingga RM70 untuk satu pek yang berisi lima ke enam ekor bergantung kepada saiz, harus dipesan seminggu sebelum trip.

Kurita hitam dipilih kerana teks­turnya lembut, baunya kuat dan gerakan tentakelnya ketika diseret di dasar sering mencetuskan reaksi spesies dasar yang pasif.

Cuaca panas yang melanda Johor tempoh hari tidak mematahkan semangat kami untuk memburu ‘boron’.

Bagi kerapu ‘boron’ yang terkenal dengan sifat pemalas, tetapi agresif apabila menyambar, sotong kurita ini dianggap umpan premium. Apatah lagi jika dipersembahkan di hadapan pintu ‘rumahnya’.

Lubuk

Sebaik tiba di lubuk pertama, jighead berumpankan sotong kurita dilepaskan satu demi satu. Tali dibiarkan keluar sehingga jighead mencecah dasar, kemudian drag kekili dikunci ketat.

Teknik seret dasar ini menuntut pemahaman arus yang jitu.

Jika bot berhanyut terlalu laju, umpan akan terangkat. Jika terlalu perlahan pula, umpan menjadi kaku dan jighead mudah tersangkut di struktur di dasar.

Sebaik jighead mencecah dasar, tali dikarau sedikit sahaja, sekadar memastikan jighead bergerak mengikut pergerakan bot, menyapu dasar seperti makhluk yang sedang merayap.

Lubuk pertama ini memiliki struktur karang rendah, jenis yang sering menyimpan boron bersaiz kasar dengan kedalaman sekitar 30 meter (m) sahaja.

Paparan skrin di sonar menunjukkan beberapa tompokan, cukup untuk menaikkan harapan.

Selepas beberapa kali berhanyut, jighead kami diragut rakus oleh penghuni dasar, namun si pelaku berjaya meloloskan diri.

Ada kalanya, jighead terasa seperti disentuh, tetapi tidak cukup kuat untuk dianggap sebagai sambaran yang serius. Saya turut tidak terkecuali diberikan harapan palsu oleh kerapu ‘boron’ yang menghendap di bawah.

Apabila jighead berumpankan seekor kurita dikarau naik, janggut sotong kurita menunjukkan kesan gigitan, tanda penghuni dasar yang mencuri tanpa niat penuh.

Hanya Ramdan yang berjaya menaikkan seekor ikan tetanda dan baji dengan kaedah jigging.

Jenahak penyelamat

Membaca keadaan yang agak pasif, tekong bertukar lubuk ke kawasan dasar berpasir bercampur karang, dengan kedalaman sekitar 40 hingga 50 meter.

Kawasan ini kurang ‘keras’ berbanding lubuk kerapu boron klasik, tetapi sering menjadi laluan ikan jenahak yang mencari makan.

Arus di sini lebih lembut, sesuai untuk teknik seret dasar yang memerlukan pergerakan umpan yang konsisten.

Tidak lama selepas hanyutan pertama di kawasan ini, joran Din Pomen yang sedari awal menggunakan kaedah jigging melentur kuat.

Masing-masing menanti penuh debaran. Namun apabila ikan hampir ke permukaan air, kelibat sisik keemasan yang membias cahaya matahari menjawab teka-teki kami, seekor jenahak bersaiz lebih 4kg menyerah diri.

Pada masa sama, Ramdan turut menerima hentaman, namun setelah beberapa ketika, ikan terlucut pula.

Selang beberapa detik, giliran umpan Daus pula disambar rakus, kami menyangka kerapu ‘boron’, namun seekor lagi jenahak dinaikkan.

Di sini, setiap ikan yang sudi menyambar adalah bonus.

Jenahak ini bukan sekadar penyelamat moral, tetapi bukti bahawa teknik yang digunakan masih relevan, cuma sasaran berubah.

Kelibat boron kekal samar. Seolah-olah ikan ini memilih untuk tidak terlibat langsung dalam cerita hari tersebut.

Namun di sinilah, falsafah memancing kami mula berbicara. Trip ini mungkin tidak menghasilkan apa yang dirancang, namun ia tetap memberi pengalaman lengkap.

Teknik seret dasar dengan jighead berat antara 200 hingga 250 gram dan sotong kurita hitam Indonesia terbukti berfungsi, cuma bukan untuk sasaran diidamkan.

Laut Pontian seperti biasa, mengajar tentang kompromi. Di dalam penulisan untuk Gewang, kegagalan memburu ikan sasaran utama bukanlah satu noktah.

Sebaliknya, kerapu ‘boron’ yang tidak ‘menjawab’ pada hari ini, mung­kin akan rakus esok atau lusa, pada arus dan waktu berlainan.

Laut Pontian pula tidak pernah lokek, cuma selektif.

Pulang ke jeti, bot dipenuhi perbualan ringan dan pelajaran yang berat.

Trip ini mengingatkan bahawa memancing tidak sekadar mengejar hasil, tetapi sebahagian daripada proses dan menyimpan sabar untuk pertemuan seterusnya.

Di Pontian, boron tidak pernah benar-benar hilang. Ia cuma menunggu masa dan pemancing yang cukup sabar akan kembali.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN