SEREMBAN – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, itulah yang boleh digambarkan bagi ketua keluarga, Mohd. Nazif Mansor yang disahkan mengidap penyakit ‘young parkinson’ sejak 2019 tinggal bersama isteri dan lima anak berusia empat hingga 17 tahun.
Menurut isteri Mohd Nazif, Nor Fazlina Zazali, 33, suaminya mula mengidap penyakit yang jarang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia itu sejak tahun 2019 selepas diserang penyakit angin ahmar ringan sekali gus kehidupan keluarga ini berubah 360 darjah.
Kehidupan keluarga yang menginap di Kuartes Sains G17, Jalan Pantai, di sini banyak bergantung kepada bantuan daripada Baitulmal selain mendapat sokongan daripada syarikat suami serta lain-lain agensi untuk mengumpul dana bagi menjalani rawatan penyakit suaminya iaitu Rangsangan Otak Dalam (DBS) bernilai ratusan ribu ringgit.
Bagaimanapun beban keluarga malang ini dapat diringankan melalui Program Jelajah Mulia bersama Mahsuri Dagang Sdn Bhd (Mahsuri Dagang) di Pantai serta Nilai, Negeri Sembilan sempena kedatangan Ramadan yang mana Nor Fazlina menerima sumbangan wang tunai RM1,000.

Mohd Nazif adalah salah seorang daripada empat keluarga yang dipilih untuk mendapatkan bantuan daripada program tanggung jawab sosial korporat (CSR) anjuran Mahsuri Dagang bersempena bulan Ramadan ini.
“Nilai ini cukup besar buat kami, lebih-lebih lagi saya tidak bekerja kerana menguruskan suami yang sakit serta anak-anak bersekolah,” jelasnya.
Mengulas mengenai bantuan tersebut, Pengarah Hal Ehwal Luar, Mahsuri Dagang, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, program itu menggunakan pendekatan baharu dengan menyantuni masyarakat miskin di bandar.
“Seperti program sebelum ini, ia tetap sama bertujuan untuk menyantuni keluarga yang memerlukan dan kehadiran kami kali ini adalah untuk menyerahkan bantuan Kotak Kasih yang mengandungi pelbagai produk Mahsuri kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Selain itu, Penolong Pegawai Operasi 2, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), daerah Seremban, Mohd. Hafiz Abu Yazid memuji usaha yang dijalankan oleh Mahsuri Dagang bersama Media Mulia Sdn Bhd serta berharap agar lebih banyak lagi syarikat korporat dapat membantu golongan asnaf di negeri ini khususnya di Seremban.
“Kalau di Seremban terdapat kira-kira 493 keluarga yang menerima bantuan bergantung kepada had kifayah keluarga masing-masing. Bantuan bulanan diberikan secara tunai.
“Sehubungan itu, MAINS menyeru kepada mana-mana pihak yang ingin membantu boleh mengunjungi kami. MAINS akan mencadangkan penerima yang layak,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Nur Fatihah Abdul Malik, 37, mengucap syukur dan menghargai usaha Mahsuri Dagang menyantuni keluarganya bersempena Ramadan.
“Saya ada 11 anak berusia dua bulan hingga 21 tahun. Banyak pengajaran yang saya ambil dalam hidup ini. Saya pernah buat silap dahulu, sehingga anak-anak hampir diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Dengan sokongan keluarga, saya dapat memperbaiki kesilapan lalu dan berusaha sehingga kini. Sekarang kehidupan kami anak-beranak semakin baik,” katanya.
Menurutnya yang bekerja secara sambilan di agrofarm berhampiran Rumah Rakyat Pantai turut memaklumkan bahawa salah seorang anaknya berusia 17 tahun kini bakal cacat kekal susulan kemalangan serta kakinya terpaksa dimasukkan besi.
Bagi seorang lagi penerima yang bekerja sebagai bomba bantuan, Muhammad Zamri Abu Bakar, 44, menyatakan wang sumbangan yang diterima bukan hanya untuk persiapan raya, namun buat anak sulungnya menyambung pelajaran.
“Seronok sebenarnya dapat (sumbangan) tambah pula dalam bulan puasa ini. Selain untuk perbelanjaan hari raya, selebihnya saya fikirkan untuk perbelanjaan anak sulung akan sambung belajar.
Pesakit jantung berlubang yang pernah melalui satu pembedahan pada usia 18 tahun itu memberitahu, dia terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar kerana tiga anaknya berusia 11 hingga 18 tahun yang kini semuanya masih bersekolah.

Seorang lagi penerima bantuan dalam program tersebut, Muhammad Irsyad Ilham Sophian, 23, berkata, bantuan tersebut akan meringankan beban keluarganya untuk perbelanjaan pada bulan Ramadan serta bakinya untuk belanja keperluan hari raya.
Anak sulung dari empat beradik ini mengambil tanggungjawab yang besar membantu keluarga kerana ayahnya mengidap Major Depressive Disorder (MDD) sejak tahun 2021.
Menurut pelajar tahun akhir, Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah (Kepujian), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, walaupun berdepan pelbagai ujian terutamanya dari segi kewangan, dia tetap nekad menyambung pelajaran ke universiti awam.
“Tahun pertama saya pinjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun setelah membuat pengiraan, jumlah pinjaman itu tidak mencukupi untuk saya tampung perbelanjaan bulanan di universiti.
“Jadi, saya menggunakan keputusan semester pertama saya untuk memohon pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan melangsaikan PTPTN.
“Alhamdulilah, selain pinjaman ini, saya turut menerima bantuan zakat dari Baitulmal serta pihak universiti. Saya juga bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan selain memenuhi keperluan adik-adik,” katanya. -KOSMO! ONLINE














