fbpx
Sebahagian penerbangan ke Asia Barat dibatalkan akibat perang menyebabkan ribuan jemaah terkandas di KLIA.

8,000 terjejas, 26 penerbangan dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Hampir 8,000 penumpang tersekat dan terjejas susulan pembatalan 26 pener­bangan ke Asia Barat ekoran pertempuran antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan yang tercetus sejak Sabtu lalu.

Mereka terdiri daripada pelancong asing, ekspatriat, jemaah umrah serta pekerja warga asing, yang sebahagian terpaksa menginap di hotel-hotel di ketika ibu negara dan Putrajaya selepas penerba­ngan dibatalkan.

Sebelum ini, beberapa syarikat penerbangan mengumumkan pembatalan beberapa pe­nerbangan dari dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Ia termasuk ke Jeddah dan Madinah di Arab Saudi serta Doha, Qatar selain Abu Chabi dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu susulan ke­tegangan di benua itu.

Berdasarkan carian Kosmo! di aplikasi Flightradar24, penerbangan Emirates dengan nombor penerbangan EK343 dari KLIA ke Dubai semalam dan hari ini kekal dibatalkan.

Pesawat jenis Airbus380 yang mempunyai kapasiti penum­pang seramai 489 penumpang itu sepatutnya berlepas pada pukul 1.25 pagi waktu tempatan.

Sementara itu, syarikat Qatar Airways turut membatalkan tiga penerbangan ke Doha semalam, masing-masing melibatkan pe­nerbangan pada pukul 2.30 pagi, 10.15 pagi dan 8.45 malam.

Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG) turut mengambil keputusan menggantung sementara semua penerbangan ke dan dari Doha, Qatar selain Jeddah dan Madinah hingga hari ini.

MAG dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun, semua penerbangan lain termasuk ke dan dari London serta Paris Charles de Gaulle Airport kekal beroperasi mengikut jadual buat masa ini.

Katanya, penerbangan tersebut menggunakan laluan alternatif yang berada jauh dari zon konflik yang terjejas.

“Penumpang yang terlibat telah dimaklumkan dan akan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif sekiranya diperlukan.

“Penerbangan ke destinasi yang terjejas akan terus digantung sementara menunggu penilaian lanjut terhadap situasi keselamatan semasa,” katanya baru-baru ini.

Antara penerbangan terjejas termasuklah MH150 yang dija­dualkan berlepas ke Jeddah dan MH151 yang dijadual berlepas dari Jeddah ke Kuala Lumpur pada Ahad.

Turut terlibat ialah MH160 yang dijadualkan berlepas ke Doha, Qatar pada hari ini serta MH158 yang dijadualkan ke Madinah kelmarin.

MAG berkata, semua penum­pang dinasihatkan untuk mengemas kini maklumat perhubungan mereka melalui ‘My Booking’ bagi menerima makluman terkini.

Sementara itu, tinjauan Kos­mo! di KLIA Terminal 1 turut mendapati proses pengendalian penumpang di kaunter daftar masuk, saringan keselamatan serta imigresen berjalan lancar walaupun kelihatan sibuk dan sedikit sesak.

Difahamkan, keadaan itu berikutan semua penumpang telah dimaklumkan dengan pembatalan penerbangan terlibat dan hanya akan ke lapangan terbang semula selepas mendapat jadual pelepasan baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN