fbpx
Tangkap layar video seorang pemilik bengkel menghadiahkan telefon bimbit untuk pekerjanya.

‘Dia bertanggungjawab, esok-esok pasti dia senang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pemilik bengkel kereta di Bachok, Kelantan menerima pujian orang ramai apabila bermurah hati menghadiahkan telefon bimbit untuk seorang pekerjanya yang sebelum ini berkongsi alat perhubungan itu bersama isteri.

Menerusi video dikongsikan pada TikTok Awal Sehari 2, pemilik bengkel itu menceritakan kisah pekerja tersebut dan seterusnya menghadiahkan telefon bimbit itu untuk kegunaannya.

“Pengorbanan seorang suami, telefon dia tak pakai, bagi isteri. Motosikal ada satu, dia bagi isteri. Kadang-kadang kerja bawa anak isteri sekali datang tempat kerja.

“Anak dua tahun dan satu tahun. Dalam perut lagi seorang. Semoga dia terima pemberian tak seberapa daripada aku. Sekurang-kurangnya ringankan beban dia,” katanya pada kapsyen video berkenaan.

Menerusi video itu pula, pemilik bengkel tersebut turut berpesan kepada pekerja berkenaan selepas menyerahkan hadiah telefon bimbit tersebut.

“Ambil telefon, tak payah bayarlah. Abe sedekah saja, kerja molek, duduk molek, insya-Allah. Mutu (motosikal) tu jaga serupa mutu sendiri. Walaupun buruk, abe sayang, tapi jaga molek deh. Doa abe murah rezeki panjang umur,” katanya dalam dialek Kelantan.

Menerusi ruangan komen, orang ramai memuji dan mendoakan pemilik bengkel serta pekerja berkenaan dimurahkan rezeki daripada Allah.

“Dia muda lagi, tapi dia bertanggungjawab. Esok-esok pasti dia senang. Semoga dipermudah rezeki tuan dan adik ni,” komen pengguna TikTok Daneesha.

“Banyak dah jumpa macam ni. Biasa esok-esok dia senang. Pertama, dia bertanggungjawab. Kedua, dia dahulukan anak bini dia. Cuma sekarang ni dia kurang bernasib dari segi duit. Tapi pasti esok dia banyak rezeki. Entah-entah ada bengkel sendiri esok-esok,” komen Hazelnad.

“Bila anak buah kita ikhlas bekerja dengan kita, itulah habuan buat dia, terbaik,” kata Angahlutfiey. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN