fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Belum sempat kahwin, dah kena denda simpan gambar lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang bakal pengantin dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan gambar lucah, Ogos tahun lalu.

Majistret Uthman Abd. Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Nurhakim Ridzuan Shah, 27, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dalam simpanannya beberapa keping gambar lucah kira-kira pukul 3.15 petang di pejabat pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Taman Batu Berendam Putra dalam daerah Melaka Tengah, 3 Ogos 2025.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, seorang lelaki membuat laporan polis terhadap tertuduh yang didakwa mempamerkan kenderaan miliknya di Facebook milik tertuduh berserta kata-kata berunsur fitnah dan memalukan.

Susulan itu, pada 3 Ogos 2025, telefon bimbit milik tertuduh telah dirampas bagi membantu siasatan sebelum analisis forensik mendapati terdapat imej-imej lucah pada peranti itu.

Terdahulu, tertuduh merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan ia adalah kesalahan pertamanya dan akan mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat, selain hanya bekerja sendiri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin memohon agar setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN