SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 56 tahun membuat laporan polis melibatkan pelakon wanita bersama suaminya dengan kerugian sebanyak RM1.5 juta di sini, 7 Januari lalu membabitkan urusan penjualan tanah lot kurniaan di Selangor yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, laporan dibuat seorang lelaki berusia 56 tahun pada 7 Januari lalu di daerah ini.
“Berhubung perkembangan membabitkan penipuan seorang pelakon wanita, setakat ini polis daerah Seremban tidak terima laporan terkait penama (suspek) berkenaan dalam kes penipuan barangan kosmetik,” jelasnya.
Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu dan beberapa tindakan awal sudah diambil memandangkan suspek kini dipercayai tidak berada di Semenanjung.
“Maklumat yang diperoleh setakat ini mendapati kedua-dua suspek berada di Sarawak. Kedua-dua suspek sudah didaftarkan sebagai orang dikehendaki dan senarai pemantauan khas (SPK) Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan kesan dan tangkap,” katanya. – KOSMO! ONLINE














