fbpx
Zambry ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA@UMK di Masjid UMK Kampus Bachok di Bachok hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

Pijak al-Quran: KPT arah tindakan ikut peraturan universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan pihak universiti mengambil tindakan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) terhadap seorang pelajar yang ditahan selepas didapati memijak al-Quran.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kasir berkata, kejadian yang tular itu sudah menjadi kes polis dan beliau yakin pihak universiti akan mengambil langkah-langkah selaras dengan peruntukan sedia ada.

Menurutnya, kes-kes seperti itu tidak boleh dibiarkan kerana ia akan menimbulkan lagi konflik yang lebih mendalam.

“Oleh itu, langkah segera telah dilakukan oleh pihak universiti dan kita akan bertindak tegas terhadap kes berkenaan. Apabila ada tindakan menghina sesuatu agama, sudah tentu ia akan menimbulkan kemarahan yang melampau.

“Dalam konteks memijak al-Quran, ia kitab suci bagi orang Islam. Jika dilakukan kepada agama lain, pastinya ia tidak boleh dipandang ringan oleh sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Mahabbah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)@Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Masjid UMK Kampus Bachok di sini hari ini.

Zambry memberitahu, kes-kes khususnya yang melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) tidak boleh biarkan berpanjangan apabila langkah secara bersama perlu dilakukan dengan penuh hikmah bagi memelihara keamanan dan kestabilan negara.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang penuntut sebuah IPT yang tular kerana memijak al-Quran akan didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan esok.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataannya berkata, pertuduhan ke atas pemuda itu akan dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Keputusan itu dibuat selepas pihak AGC meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain terdapat keterangan yang mencukupi supaya pertuduhan dikenakan.

Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila seorang pengguna Thread didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran sehingga mencetuskan rasa marah dalam kalangan umat Islam.

Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah itu kemudian tampil memohon maaf kerana memuat naik gambar tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN