SEBERANG PERAI – Dua beradik yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 115.3, Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Bertam di sini semalam sempat mencuba baju raya sedondon yang dibeli ibu mereka secara dalam talian pada Jumaat lalu.
Abang sulung mangsa, Luqman Nulhakim Muhammad Shukor, 21, berkata, adik-adiknya iaitu Luqman Nulrois, 19, dan, Siti Nurzulaikha, 18, mengenakan baju kurang dan baju Melayu masing-masing sebaik tiba di rumah dari asrama Kolej Vokasional (KV) Nibong Tebal.
Luqman Nulrois dan Siti Nurzulaikha merupakan anak kedua dan ketiga daripada enam beradik. Mereka merupakan penuntut Tahun Dua dan Tahun Tiga KV Nibong Tebal.
Katanya, sepanjang berada di rumah, adik perempuannya kelihatan ceria, manakala Luqman Nulrois berubah menjadi pendiam berbanding periang dan gemar berkongsi cerita sebelum ini.
“Saya perasan tentang perubahan sikap mereka. Kami memang rapat dan sentiasa berhubung. Mereka berdua sempat cuba baju raya berwarna ‘teal blue’ yang dipilih ibu untuk tema Aidilfitri tahun ini. Memang kami akan pakai sedondon setiap kali sambut raya.
“Adik lelaki berubah jadi pendiam sejak balik dari asrama. Nurzulaikha pula bersemangat untuk mengecat sendiri bahagian dapur dan bilik tidurnya yang baru diubah suai. Dia sempat mengecat sebahagian biliknya dengan warga kelabu pada Sabtu lalu.
“Saya nampak dia begitu teruja untuk sambut raya, tapi mereka berdua sudah pergi buat selama-lamanya. Tiada lagi foto raya keluarga kami berpakaian sedondon tahun ini,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Pemuda itu memberitahu, dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa dua adiknya daripada ibunya pada petang semalam selepas menerima panggilan dari pihak KV.
“Saya dimaklumkan adik perempuan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi selepas dibawa ke hospital. Saya reda dengan kejadian menimpa mereka di bulan baik ini. Saya hilang dua adik serentak,” katanya sebak.
Katanya, sehingga hari ini, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang terbabit kemalangan dengan motosikal adiknya masih tidak muncul bertemu dengan mereka sekeluarga.
“Sekurang-kurangnya datanglah berjumpa. Kami juga nak tahu apa yang sebenarnya berlaku ketika itu,” katanya. Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, Teroi, Yan di Kedah, petang tadi.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan dua beradik yang juga penuntut KV Nibong Tebal maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh belakang kenderaan MPV yang berhenti di lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara Selatan pada pukul 5 petang.
Dalam kejadian itu, pembonceng, Siti Nurzulaikha maut di lokasi kejadian, manakala abangnya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.
Kejadian berlaku ketika dua beradik tersebut dalam perjalanan pulang ke asrama dari rumah mereka di Guar Chempedak.
Difahamkan, motosikal mangsa jenis Honda RS merempuh Toyota Vellfire yang berhenti di lorong kecemasan dipercayai akibat masalah tayar belakang. -KOSMO! ONLINE














