Menjadi kelaziman, lagu raya antara ‘eksesori’ wajib setiap kali menjelang musim perayaan. Pendek kata, tak lengkap Ramadan dan Syawal tanpa lagu raya.
Dan, tahun ini kita menyaksikan lambakan lagu raya daripada barisan penyanyi lama serta baharu. Kumpulan De Fam misalnya, kembali dengan lagu Pok Pek Raya selepas trending menerusi lagu Alamak Raya Lagi dua tahun lalu.
Tidak ketinggalan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Wani Kayrie, Shiha Zikir, Fazura, Bella Astillah, Nabila Razali, Syamel dan isterinya, Ernie Zakri, Ifa Raziah dan ramai lagi.
Makin meriah apabila ramai pempengaruh berlumba-lumba menghasilkan lagu raya, lengkap dengan video muzik (MV) untuk tatapan pengikut mereka. Minggu pertama Ramadan sudah berderet lagu raya dan jumlah bertambah dari semasa ke semasa.
Mana tidaknya ada yang muncul dengan lebih satu lagu antaranya, Hael Husaini dan Datuk Seri Aliff Syukri bahkan Iman Troye baru-baru ini berkata, akan melancarkan album yang memuatkan 10 hingga 12 lagu raya.
Tidak dinafikan beberapa lagu mendapat respons positif dan tontonan yang tinggi dalam YouTube tetapi banyak juga yang kualitinya ke laut. Barangkali rakam lagu raya demi trending atau mungkin mengukuhkan jenama agar terus relevan di mata pengikut.
Sesiapa sahaja boleh merakamkan lagu raya asalkan ada moda. Namun, bagi yang kurang pengalaman dan masih hijau, sewajarnya lebih cakna aspek kualiti. Takkan asal ada sahaja?
Memetik kata-kata komposer Ajai mengenai lambakan lagu raya terutama membabitkan pempengaruh: “Tidak salah untuk sesiapa pun menghasilkan lagu raya. Lagi ramai berkarya, lagi meriah sambutan. Namun, kekuatan sesebuah lagu Raya terletak pada melodinya.”
Apa yang penulis ingin tekankan di sini, jika mahu ada lagu raya, bersungguhlah, buat yang terbaik. Jangan kerana orang lain ada lagu raya, awak pun kena ada.
Usah syok sendiri semata-mata mahu trending’ Jaga kualiti kerana lagu raya ada ‘jiwa’ dan ‘vibe’ istimewa. Jika Kena cara melekat lama di hati pendengar dan tak mustahil jadi malar segar.
Lihat sahaja lagu raya era 70-an hingga 90-an yang tetap menjadi siulan ramai sehingga hari ini.
Antara paling lama bertahan, lagu Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Dendang Perantau yang dirakamkan sekitar tahun 1950-an.
Tidak kurang hebat lagu raya dendangan Datuk Sudirman, Datuk M. Nasir, Datuk Awie, Ella, Ziana Zain, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan ramai lagi yang kekal relevan hingga kini.
Kalau tanya penulis lagu raya tahun ini yang melekat di hati, jawapannya belum jumpa lagi sekuat tarikan Serumpun dendangan Mimi Fly, Meriah Lain Macam (Hael Husaini dan Nadeera) serta Alamak Raya Lagi (De Fam).
Maaf, ini pandangan jujur penulis, selera kita mungkin berbeza. Jangan pula ada yang terasa hati atau melenting. Mungkin boleh renung kembali niat kalian hasilkan lagu raya dan kaji semula untuk penambahbaikan pada masa akan datang.
Jangan terlalu ghairah kejar viral hingga terlepas pandang soal kualiti sehingga hilang seri keunikan lagu raya.
















