fbpx
Ruslin Jusoh.

Rasuah AADK: Agensi perketat SOP fasiliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan menilai serta menambah baik prosedur operasi standard (SOP) di semua fasilitinya susulan penahanan dua kakitangannya di Terengganu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kedua-dua kakitangan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kes disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan membawa masuk barang terlarang untuk penghuni sebuah pusat pemulihan.

Katanya, tangkapan dibuat hasil laporan yang dikemukakan AADK sendiri selepas mengesan wujudnya salah laku dan pelanggaran integriti membabitkan kakitangan terlibat.

“AADK menyerahkan proses siasatan kepada pihak SPRM dan komited untuk
memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang didapati terlibat dalam salah laku yang boleh menjejaskan reputasi agensi dan perkhidmatan awam.

Selain tindakan siasatan oleh SPRM, beliau memaklumkan tindakan dalaman akan diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berdasarkan hasil siasatan rasmi.

Pada masa sama katanya, AADK turut menjalankan penilaian semula terhadap SOP di fasiliti terlibat bagi menutup sebarang kelemahan prosedur yang boleh dimanipulasi pada masa hadapan.

Tambahnya, AADK bertekad sepenuhnya untuk membanteras sebarang bentuk
salah laku dan rasuah dalam kalangan warga kerja secara menyeluruh.

“Tindakan paling tegas dan agresif akan diambil terhadap mana-mana kakitangan yang terbukti terlibat dalam kes pelanggaran integriti dan berdepan tindakan perundangan serta boleh dibuang kerja sekiranya didapati bersalah,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang penjawat awam direman selama enam hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah RM6,000 sebagai balasan membawa masuk bahan terlarang untuk penghuni sebuah pusat pemulihan dadah di negeri berkenaan.

Perintah reman terhadap wanita berusia 30-an tersebut dibenarkan oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sumber SPRM berkata, wanita terbabit ditahan bersama rakan sekerja lelakinya sewaktu tampil memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu pada pukul 12.30 tengah hari semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI