PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan video tular memaparkan kandungan berunsur penghinaan terhadap agama Islam dengan memijak al-Quran dipercayai berlaku di Singapura.
MCM berkata, pihak berkaitan sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula video lama itu yang dikatakan berlaku pada tahun 2024.
“MCMC menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan yang dipercayai dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Berdasarkan siasatan awal, individu yang terlibat merupakan seorang warga Singapura dan insiden juga dipercayai berlaku di Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MCMC sedang bekerjasama dengan pengendali media sosial khususnya Threads, Facebook dan TikTok bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk menyekat penyebaran dan akses terhadap kandungan tersebut di Malaysia.
MCMC berkata, sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab.
Tindakan undang-undang boleh dikenakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan berkenaan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau Polis Diraja Malaysia. – KOSMO! ONLINE














