fbpx
Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Muie Ngah (dua dari kanan) Siti Norina (tiga dari kanan) dan Wan Munadi (kanan) menyerahkan sumbangan khairat kematian YGMB kepada Asiah pada Pelancaran Skim Sejahtera dan Skim Kasih Warga Pendidik YGMB di Kota Bharu semalam.

Khairat kematian YGMB bantu keluarga Rambo Castello laksana badal umrah, haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Keluarga pempengaruh media sosial, Rambo Castello akan melunaskan hasrat Allahyarham untuk mengerjakan badal umrah dan haji menggunakan sebahagian wang khairat kematian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) berjumlah lebih RM52,000.

Rambo Castello atau nama sebenarnya Ahmad Radzli Che Ngah, 59, yang merupakan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli meninggal dunia akibat serangan jantung di Yogyakarta, Indonesia pada 17 Oktober lalu.

Anak bongsu arwah, Norfadzliana, 23, berkata, Allahyarham bapanya berniat untuk menunaikan umrah dan haji bersama ibu, Asiah Abdullah, 56, selepas dia bersara pada bulan April ini.

Menurutnya, arwah sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci selepas majlis konvokesyennya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di Johor Bahru, Johor pada November ini.

“Arwah abah banyak kali bercakap bahawa dia akan menunaikan umrah selepas saya tamat konvokesyen. Jadi, kami sekeluarga mahu melunaskan hasrat arwah dengan mengerjakan badal umrah dan haji buatnya selepas menerima sumbangan khairat kematian YGMB,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Skim Sejahtera dan Skim Kasih Warga Pendidik YGMB di sebuah hotel di sini semalam.

Pada majlis itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad menyampaikan sumbangan khairat kematian YGMB kepada Norfadzliana dan Asiah.

Allahyarham Ahmad Radzli menyertai skim YGMB pada Ogos 2024 sekali gus melayakkan ahli keluarganya menerima khairat kematian berjumlah lebih RM52,000.

Norfadzliana memberitahu, wang khairat itu juga digunakan untuk menampung perbelanjaan pengajiannya selain beberapa keperluan lain yang perlu diselesaikan.

Menurutnya, seluruh ahli keluarga bersyukur dengan sumbangan itu kerana ia dapat meringankan segala urusan lebih-lebih lagi ibunya merupakan seorang suri rumah.

“Kami sekeluarga tidak menyangka akan menyambut Ramadan pada tahun ini tanpa arwah di sisi. Allahyarham merupakan imam tarawih di surau Kampung Wakaf Zing, Jeli setiap kali bulan puasa sejak hampir 20 tahun lalu.

“Selepas ketiadaannya, surau tersebut sudah tidak membuat solat sunat tarawih di situ. Suasana itu sangat janggal buat kami sekeluarga kerana arwah memang akan ada di surau itu sepanjang Ramadan.

“Allahyarham menggantikan arwah bapa tirinya yang merupakan imam di surau tersebut selepas meninggal dunia pada 2005. Banyak memori kami bersama ketika bulan Ramadan hilang dalam sekelip mata apabila arwah meninggal dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, sumbangan khairat kematian yang disalurkan kepada keluarga Allahyarham Ahmad Radzli sedikit sebanyak dapat membantu menceriakan sambutan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

Menurut beliau, arwah juga merupakan Ahli Skim Emas YGMB dan keluarganya layak untuk menerima sumbangan khairat kematian tersebut.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Rambo Castello meninggal dunia di Rumah Sakit Sardjito, Yogyakarta, Indonesia selepas mengalami serangan jantung dan jangkitan paru-paru kira-kira pukul 2.38 pagi waktu Indonesia pada 17 Oktober lalu.

Ahmad Radzli menghembuskan nafas terakhir di samping isterinya, Asiah dan Hafizul Fazli di hospital berkenaan.

Rambo Castello merupakan pempengaruh media sosial terkenal dengan kandungan berbentuk nasihat mengenai kehidupan masyarakat luar bandar serta perkongsian tip bercucuk tanam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI