fbpx
NUR AISHAH mahu melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang TVET.

Nur Aishah pilih dalami bidang TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) semakin menjadi pilihan generasi muda untuk melanjutkan pengajian.

Nur Aishah Hanis Mohd. Shokri, 23, merupakan salah seorang pelajar yang memilih untuk mengambil bidang tersebut.

“Saya memilih laluan TVET kerana pendekatan pembelajarannya yang lebih praktikal dan berfokus kepada kemahiran sebenar industri.

“Berbanding aliran akademik konvensional yang lebih menekankan teori, TVET memberi peluang kepada saya untuk memahami situasi kerja sebenar dan menyediakan diri dengan lebih baik untuk alam pekerjaan,” katanya.

Sebelum ini, gadis yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu mengambil bidang pengajian Pengoperasian Perniagaan di Kolej Komuniti Hulu Langat, Selangor.

Selepas menamatkan pengajian peringkat sijil, dia menyambung pengajian ke peringkat Diploma Pengajian Perniagaan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak dan kini sedang menjalani latihan industri.

Nur Aishah berkata, dalam bidang pengajian perniagaan, dia mempelajari pelbagai aspek penting yang berkaitan dengan pengurusan dan operasi perniagaan.

Antaranya ialah asas pengurusan, perakaunan, pemasaran, pengurusan sumber manusia, komunikasi perniagaan, etika kerja serta keusahawanan.

“Pembelajaran ini bukan sahaja melibatkan teori, malah turut disokong dengan tugasan amali, kajian kes dan projek berkumpulan yang membantu saya memahami bagaimana sesuatu perniagaan dijalankan dalam dunia sebenar.

“Sepanjang pengajian, antara kemahiran perniagaan paling penting yang saya peroleh ialah kemahiran komunikasi, pengurusan masa, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah,” jelasnya.

Tambahnya, kemahiran ini sangat berguna semasa latihan industri kerana dia perlu berinteraksi dengan pelbagai pihak, mengurus tugasan harian, menyiapkan kerja mengikut tempoh masa yang ditetapkan serta menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja profesional.

Dalam masa yang sama, Nur Aishah berpendapat bahawa program TVET dalam bidang pengajian perniagaan di Politeknik Ungku Omar sangat selari dengan keperluan industri semasa.

Kandungan silibus yang menekankan kemahiran praktikal serta keperluan menjalani latihan industri membantu pelajar bersedia menghadapi dunia pekerjaan.

Graduan TVET juga lebih mudah menyesuaikan diri dengan kehendak majikan kerana sudah didedahkan dengan situasi kerja sebenar.

“Pengalaman paling mencabar sepanjang mengikuti pengajian TVET ialah mengimbangi tuntutan akademik dan latihan industri yang memerlukan tahap disiplin dan komitmen yang tinggi.

“Pada peringkat awal, ia agak mencabar, namun saya berjaya mengatasinya dengan pengurusan masa yang lebih sistematik, berkomunikasi dengan baik bersama penyelia dan sentiasa bersikap terbuka untuk belajar daripada kesilapan,” ujar Nur Aishah.

Baginya, pensyarah dan tenaga pengajar TVET memainkan peranan yang besar dalam membentuk minda keusahawanan dan profesionalisme dalam kalangan pelajar.

Mereka sering berkongsi pengalaman industri, memberi tugasan berbentuk praktikal serta menekankan kepentingan etika kerja, disiplin dan sikap bertanggungjawab.

Pendekatan ini membantunya membina keyakinan diri dan pemikiran yang lebih matang sebagai bakal tenaga kerja.

Dari segi persepsi masyarakat, lepasan TVET sebelum ini sering dipandang rendah berbanding laluan akademik.

Namun, pada masa kini persepsi tersebut semakin berubah apabila industri mula mengiktiraf kepentingan kemahiran praktikal.

Nur Aishah menjelaskan, lepasan TVET kini dilihat lebih kompeten, berkemahiran dan bersedia untuk terus bekerja.

“Pengajian ini juga memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi moden dalam perniagaan, termasuk asas pemasaran digital, penggunaan media sosial untuk tujuan perniagaan serta pengurusan dokumentasi secara digital.

“Pendedahan ini sangat relevan dengan keperluan perniagaan masa kini yang semakin bergantung kepada teknologi,” katanya.

Selepas tamat pengajian, dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda bagi menambah pengetahuan, memperkukuh kemahiran dan meningkatkan peluang kerjaya dalam bidang perniagaan.

Dia percaya, menyambung pengajian sangat penting untuk membina masa depan kerjaya yang lebih kukuh dan berdaya saing.

Nur Aishah juga menitipkan pesan kepada pelajar sekolah yang masih ragu-ragu untuk memilih laluan TVET.

“Saya ingin menegaskan bahawa TVET merupakan satu laluan yang sangat jelas dan relevan dengan keperluan industri.

“Malah, TVET bukan sahaja menawarkan kemahiran praktikal dan pengalaman industri tetapi turut membuka peluang kerjaya yang luas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN