KOTA BHARU – Masalah keluarga termasuk bapa dipenjara merupakan antara faktor utama yang dipercayai menyumbang kepada sebanyak hampir 1,000 kes lewat mendaftar sijil kelahiran dan MyKad di seluruh negara setiap bulan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain itu, salah faham, merasakan bahawa perlu mengeluarkan wang semasa mendaftar dan perkahwinan ibu bapa tidak didaftar juga merupakan antara punca kelewatan pendaftaran dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, kes-kes kelewatan mendaftar sijil kelahiran dan MyKad itu menyumbang kepada sebanyak 12,000 hingga 13,000 kes setahun.
“Justeru, kes lewat mendaftar dokumen pengenalan diri itu boleh dikatakan berlaku sebanyak 1,000 kes sebulan di seluruh negara. Apabila ada kelahiran baharu, pasti ada kes (lewat daftar sijil kelahiran dan MyKad).
“Bagi kes-kes yang sudah diprofilkan itu, kita tidak boleh tunggu di pejabat. Mereka perlu didampingi (untuk mendaftar sijil kelahiran dan MyKad,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kampung Simpul Berlubang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, bermula 2022 hingga 15 Februari lalu, sebanyak lebih 49,000 kes melibatkan kelewatan mendaftar sijil kelahiran dan lebih 20,000 kes lewat daftar MyKad direkodkan.
Menurutnya, sehubungan itu, Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias membuat keputusan bahawa pihaknya tidak boleh menunggu sahaja di pejabat sahaja.
Menurutnya, Program Mekar JPN perlu terus dijalankan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) kerana sesetengah kes boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai sebulan. – KOSMO! ONLINE














