KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) tahun ini dengan jaminan harga mampu beli dan kualiti terpelihara.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, memasuki tahun keempat pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada 27 Mac 2023, kerajaan komited meneruskan BRR pada tahun ini dengan peluasan lebih menyeluruh di seluruh negara.
“Bagi tahun 2026, pelaksanaan BRR diperluaskan ke 116 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara dengan penglibatan kira-kira 3,000 peniaga. Inisiatif ini bukan sahaja memastikan harga mampu beli terjamin, malah membantu rakyat mendapatkan juadah berkualiti pada harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) peringkat Zon Tengah di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, di sini hari ini.
Beliau berkata, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, empat lokasi BRR dilaksanakan dengan kerjasama strategik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) iaitu Bazar Ramadan Jalan Raja Alang (Kg. Baru), Bazar Ramadan UTC Sentul, Bazar Ramadan TLK Tasik Permaisuri dan Bazar Ramadan Seksyen 1, Wangsa Maju.
Menurut beliau, di semua lokasi tersebut, peniaga menawarkan pelbagai pilihan Juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berupaya mendapatkan juadah berbuka puasa yang seimbang serta berpatutan.
Sementara itu, insentif e-wallet sebanyak RM20 turut ditawarkan kepada pengunjung melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) bagi menggalakkan urus niaga tanpa tunai.
Secara keseluruhan, sebanyak 8,000 PIN e-wallet diedarkan di Kuala Lumpur sepanjang Ramadan 2026 menerusi pelaksanaan BRR di empat lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














