fbpx
IKAN PARU-PARU AFRIKA

Lima haiwan boleh ‘berpuasa’ paling lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP makhluk hidup secara lumrahnya perlu makan dan minum untuk terus hidup. Namun, ada beberapa haiwan yang dicipta dengan mekanisme badan boleh ‘berpuasa’ selama berminggu, berbulan, bahkan bertahun tanpa makan dan minum.

Di samping itu, haiwan-haiwan ini mempunyai kemampuan bertahan dalam cuaca sejuk dan kering ekstrem, sekali gus membolehkan terus hidup di habitat tersebut.

Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima haiwan yang boleh hidup tanpa makan dan minum seperti dilaporkan oleh Times Of India.

1- Ikan paru-paru Afrika

IKAN paru-paru Afrika merupakan spesies purba dengan helah survival yang menarik. Semasa musim kemarau, apabila sungai kering, ikan paru-paru menggali lubang di dalam lumpur dan merembeskan lendir pelindung di dalamnya.

Selepas itu, ikan ini akan memasuki fasa hibernasi, metabolismenya perlahan kepada hampir sifar dalam lubang itu. Dalam keadaan tidak aktif ini, ikan paru-paru tidak makan atau minum dan boleh bertahan sehingga empat tahun tanpa makanan.

Apabila hujan kembali turun dan sungai kembali mengalir, ia akan terlepas dari kepompongnya dan meneruskan aktiviti seperti biasa. Adaptasi ini membantu ikan paru-paru Afrika menahan beberapa kemarau bermusim yang paling teruk. Ini dapat membantu ikan paru-paru Afrika hidup selama berjuta-juta tahun.

2. Tardigrade

SETERUSNYA, tardigrade yang merupakan makhluk mikroskopik atau dikenali sebagai beruang air. Haiwan ini tersenarai kerana keupayaan bertahan hidup tanpa makan dan minum. Selain itu, saintis juga kagum dengan keupayaan yang boleh bertahan dalam keadaan ekstrem termasuk ruang angkasa.

Apabila menghadapi keadaan kering atau kekurangan makanan, tardigrade akan memasuki keadaan yang dipanggil cryptobiosis iaitu kehilangan hampir semua kandungan air dan menghentikan metabolismenya.

Dalam keadaan tersebut, haiwan ini boleh bertahan selama bertahun-tahun tanpa makanan atau minum di bawah sinaran melampau. Apabila kelembapan kembali, ia menghidrat semula dan ‘bangun’ seperti tiada apa-apa berlaku.

3- Raksasa gila

DIKENALI dengan nama raksasa gila (Gila monster), reptilia ini merupakan salah satu daripada beberapa cicak berbisa di dunia yang pakar dalam penjimatan tenaga. Haiwan berasal dari padang pasir Barat Daya Amerika

Syarikat serta Mexico itu boleh hidup selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan tanpa makanan.

Reptilia ini kurang bergerak dan mempunyai metabolisme rendah yang membolehkanmenyimpan rizab tenaga dalam tempoh lama.
Ia menyimpan lemak di ekor dan perutnya.

Selepas makan makanan yang besar seperti telur, burung atau mamalia kecil, ia boleh bertahan lama dengan tidak makan.

Keupayaan untuk bertahan dengan sumber yang minimum, raksasa gila sangat sesuai untuk persekitaran gersang dan kekurangan sumber.

4- Penguin maharaja

DI Antartika, selepas penguin betina bertelur, ia akan kembali ke lautan untuk makan. Ia meninggalkan penguin jantan untuk mengeram telur dalam musim sejuk yang teruk. Tempoh pengeraman itu boleh berlangsung sehingga 60 hari. Selama itu, penguin jantan tidak akan makan atau minum. Sebaliknya hidup dengan simpanan lemak yang dikumpul terlebih dahulu.

Untuk menjimatkan kehangatan dan tenaga, penguin jantan berkumpul bersama dalam kumpulan besar, menahan suhu yang boleh turun di bawah -40 darjah Celsius dengan kelajuan angin melebihi 100 kilometer sejam.

Keupayaan penguin jantan untuk berpuasa dalam tempoh panjang, di samping memastikan telur-telurnya selamat dan hangat cukup luar biasa.

5- Unta

DISENARAI terakhir adalah unta. Haiwan gurun ini boleh hidup tanpa air dan makanan sehingga lebih 15 hari. Bertentangan dengan kepercayaan popular, unta tidak menyimpan air di bonggolnya.

Sebaliknya, bonggol tersebut menyimpan lemak yang boleh dipecahkan oleh badannya untuk tenaga dan kelembapan.

Selain itu, badan unta sangat cekap untuk menjimatkan air, menghasilkan air kencing yang sangat pekat serta najis sangat kering. Unta juga boleh bertolak ansur dengan kenaikan suhu badannya. Menariknya, haiwan ini dicipta dengan kelebihan mengelak berpeluh bagi mengekalkan lebih banyak air dalam badannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN