fbpx
SAIFUDDIN (tengah) melakukan lawatan rasmi ke Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

Kes tembak komander sempadan: Dua lagi lelaki tempatan ditahan berkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Dua lagi lelaki tempatan berusia 51 dan 58 tahun ditahan di sekitar kawasan ini susulan insiden tembakan yang menyasarkan komander sempadan Bukit Kayu Hitam pada Rabu lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat hasil siasatan termasuk pemprofilan berdasarkan gambaran diberikan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.

“Apabila kita memulakan siasatan awal, pihak polis memaklumkan kepada saya dua nama ini ditimbulkan oleh komander yang rasa diekori sejak kebelakangan ini.

“Jadi dia (komander) gambarkan personaliti (suspek). Sebagai contoh rambut ikal mayang, jadi kita profilkan dan kita kenal pasti,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan rasmi ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Ditanya sama ada kejadian itu melibatkan pihak negara luar, siasatan lanjut mengenainya sedang dilakukan memandangkan insiden berlaku di sempadan selain salah seorang suspek merupakan warga Thailand.

Saifuddin turut mengarahkan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain untuk meningkatkan kawalan ke atas pegawainya yang dipercayai menjadi sasaran mana-mana pihak.

“Perinciannya saya serahkan kepada beliau apa bentuk langkah kawalan yang saya minta ditingkatkan itu boleh dilakukan kerana sudah ada piawaian tertentu ditetapkan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan insiden tembakan ke atas seorang komander sempadan pada Rabu lalu membawa kepada penahanan tujuh individu, dengan dua daripada mereka dikesan mempunyai residu tembakan senjata api pada tangan dan pipi.

Mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia 22 hingga 52 tahun.

Kesemua suspek termasuk pasangan suami isteri itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada hari kejadian bermula pukul 10.30 pagi hingga 6 petang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN