KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh wanita yang mayatnya dikerat sebelum dijumpai di beberapa lokasi di Indah Permai, Sepanggar pada 12 Februari lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Piluta Samad, 71, selepas pertuduhan dibacaka terhadapnya di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Tertuduh yang bekerja sendiri didakwa membunuh Hamidah Husin @ Lisa antara pukul 6 petang hingga 7 malam, 11 Februari lalu. Kesalahan dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan DNA, patologi, forensik dan kimia.
Kareena membantah jaminan diberikan terhadap tertuduh berikutan kes serius iaitu membunuh dan mahkamah menetapkan 15 April ini untuk sebutan semula kes.
Dalam kejadian pada 12 Februari lalu, seorang wanita berumur 44 tahun ditemukan maut dalam keadaan anggota tubuhnya dikerat kepada beberapa bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, Sepanggar, dekat sini.
Pembunuhan itu terbongkar pada kira-kira pukul 6.30 pagi selepas seorang pekerja lori sampah menemukan anggota badan manusia ketika menjalankan tugas rutin. – KOSMO! ONLINE














