PETALING JAYA – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) merekodkan hasil takaful sebanyak RM3.78 bilion, meningkat RM201.7 juta daripada RM3.57 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, keuntungan sebelum zakat dan cukai mencatat paras
tertinggi sebanyak RM616 juta, berbanding RM574.9 juta pada tahun 2024.
Beliau berkata, prestasi itu didorong terutamanya oleh pelepasan margin perkhidmatan kontraktual yang lebih tinggi serta peningkatan pendapatan pelaburan bersih.
“Prestasi kami bagi tahun 2025 memberikan gambaran jelas tentang strategi yang mantap serta kedudukan kami sebagai peneraju pasaran.
“Walaupun landskap ekonomi mencabar, kami secara konsisten melangkaui penanda aras industri melalui pelaksanaan yang disiplin serta portfolio yang seimbang, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azman berkata, pertumbuhan perniagaan ini bukan sekadar tentang angka semata-mata tetapi merupakan bukti usaha berterusan pihaknya dalam mencapai kecemerlangan operasi, di samping komitmen untuk memberikan nilai mampan kepada para pihak berkepentingan.
“Tahun kewangan 2025 memperlihatkan prestasi memberangsangkan bagi Takaful Malaysia apabila kumpulan terus mencatat pertumbuhan mampan merentasi portfolio terasnya.
“Kepelbagaian perniagaan menjadi tunjang kekuatan, dengan segmen bankatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am muncul sebagai penyumbang utama kepada prestasi keseluruhan,” katanya.
Katanya, pertumbuhan ini turut dipacu oleh peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan kewangan, di samping lonjakan permintaan terhadap penyelesaian kewangan yang patuh Syariah.
“Melalui pelaksanaan strategi yang efektif, Kumpulan berupaya menangani cabaran pasaran sambil mengukuhkan kedudukan bagi penciptaan nilai jangka panjang, memastikan ia terus kekal di barisan hadapan dalam industri.
“Melangkah ke hadapan, Takaful Malaysia memperkukuh komitmennya dalam memacu inovasi
berorientasikan pelanggan, keupayaan digital, serta integrasi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus
(ESG),” katanya.
Beliau berkata, platform dan jenama digital Kumpulan, Kaotim, terus menjadi pemangkin pertumbuhan Takaful Malaysia.
“Fokus kami bagi 2026 adalah jelas: keupayaan berdaya tahan dan pengembangan pasaran strategik melangkaui bankatakaful.
“Kami memacu usaha bagi mempelbagaikan saluran pengedaran serta pertumbuhan perniagaan dengan memanfaatkan kekuatan teras kami serta momentum platform digital dan strategi pengembangan pasaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














