PETALING JAYA – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini sebulat suara bersetuju menangguhkan Pemilihan UMNO yang dijadualkan berlangsung tahun ini kepada satu tarikh yang tidak melebihi enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Parlimen ke-16 (PRU-16).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan yang dibuat dalam mesyuarat hari ini adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 10.16, Fasal 10.16.1 dan Fasal 10.16.2.
“Ini bagi memastikan seluruh jentera parti di semua peringkat dipersiapkan untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, bagi takwim parti itu pada 2026, beliau berkata Persidangan UMNO Cawangan akan bermula dari 1 April hingga 17 Mei manakala Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian pula dijadualkan dari 1 Jun hingga 12 Julai depan.
“Perhimpunan Agung UMNO 2026 pula akan berlangsung selama lima hari bermula 12 Ogos hingga 16 Ogos depan.
“Sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 pada tahun ini, UMNO Malaysia akan menganjurkan Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei dan Konvensyen UMNO sebagai acara kemuncak sambutan bersejarah yang akan diadakan pada 2 Mei bertempat di Dewan Merdeka, World Trade Centre,” katanya. – KOSMO! ONLINE














