DALAM lambakan karya tempatan yang kini lebih cenderung kepada drama air mata, kemunculan telefilem Fantasi Fiksi hadir sebagai naskhah yang segar tanpa klise.
Menurut pengarahnya, Tam Suhaimi, Fantasi Fiksi tampil berbeza dengan menggabungkan elemen romantik komedi dan fantasi dalam sebuah karya.
“Romantik komedi memang genre yang merupakan forte saya. Namun, menerusi Fantasi Fiksi saya cuba olah dari sudut berbeza.
“Jika kita lihat pasaran hari ini, karya genre seram, aksi dan drama air lebih mata mendapat perhatian penonton. Tetapi harus diingat genre romantik komedi pun ada pengikutnya.
“Jadi, dalam karya kali ini saya gabungkan elemen fantasi yang kalau kita lihat pada hari ini menjadi sebuah genre yang diterima baik di negara luar seperti di China,” ujarnya.
Berkongsi lanjut tentang idea menghasilkan Fantasi Fiksi, kata Tam, semuanya terhasil daripada pengalamannya sebagai orang belakang tabir selaku penulis skrip.
“Saya mahu memberikan perspektif berbeza terhadap dunia penulisan skrip yang sering dipandang klise.
“Telefilem Fantasi Fiksi berkisar tentang sudut pandang seorang penulis skrip. Dia akhirnya termasuk dalam dunia skrip ciptaannya sendiri.
“Banyak elemen positif yang cuba diterapkan seperti pencarian diri dan jangan berfikir negatif tentang sesuatu perkara,” tutur Tam yang ditemui pada majlis tayangan dan sidang media telefilem Fantasi Fiksi baru-baru ini.
Pelakon popular
Menariknya, Fantasi Fiksi menghimpunkan empat pelakon wanita hebat yang pernah meraih trofi Festival Filem Malaysia (FFM), sekali gus menjadikan naskhah ini lebih istimewa.
Antara yang terlibat ialah Sazzy Falak, Liyana Jasmay, Amy Mastura dan Sharifah Amani yang masing-masing pernah mencipta kejayaan tersendiri dalam industri perfileman tempatan.
Turut terlibat adalah pelakon Iedil Dzuhrie, Sherry Alhadad, Eyka Farhana, Fara Nadiah, Mustaqim Bahadon dan Luqman Hafidz yang melengkapkan kekuatan ‘ensemble’ naskhah ini.
Liyana Jasmay sama sekali tidak menyangka meskipun menggantikan pelakon asal, Nora Danish, pada saat akhir sebagai Azalea, karya ini cukup dekat dengan dirinya.
“Semasa Tam hubungi saya untuk menggantikan Nora yang tidak dapat jalani penggambaran kerana sakit, saya terus bersetuju tanpa tahu skrip dan jalan ceritanya.
“Tidak sangka saya betul-betul seronok kerana sudah lama saya tidak berlakon dalam sebuah karya ringan yang memang dekat dengan jiwa saya,” tutur Liyana Jasmay.
Tak stres, sahabat
Sementara itu, Sharifah Amani yang sudah lama tidak berlakon dalam drama bersetuju untuk terlibat dalam karya Fantasi Fiksi kerana barisan pelakon adalah sahabat baiknya.
“Sejak menjadi ibu, memang agak sukar untuk berjauhan dengan anak, cepat rasa rindu. Sebab itu, saya memilih karya yang berbaloi untuk bekerja.
“Fantasi Fiksi meskipun sebuah karya yang ringan, genrenya agak segar dan berbeza selain, semua pelakon adalah rakan-rakan saya.
“Di set penggambaran kami semua lebih ‘enjoy’ dan langsung tidak tertekan semasa bekerja. Semua pelakon adalah rakan-rakan lama yang kita tahu kualiti lakonan mereka,” tutur Sharifah Amani yang membawakan watak sebagai Maya.
Sementara itu, penerbit dan presiden UTV, Datuk Adzliana Hasan optimis karya tersebut mampu mencuri perhatian penonton, khususnya peminat genre romantik komedi.
“Secara peribadi saya meminati genre ini dan yakin Fantasi Fiksi akan mendapat sambutan dengan barisan pelakon yang cukup berbakat besar,” katanya.
Tambahnya, UTV juga sedang merancang untuk menembusi pasaran Indonesia dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan kandungan ke peringkat serantau.














