KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen menggesa kerajaan memasukkan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke dalam Akaun 3 pencarum.
Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, langkah tersebut dapat meringankan beban rakyat tanpa menjejaskan simpanan pokok pencarum.
“Tuntutan itu hanya melibatkan dividen tahunan hasil pelaburan KWSP, bukan caruman asal atau pengeluaran simpanan pokok,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2025) 2026.
Shahidan berkata, hujah menolak langkah tersebut demi keselamatan persaraan adalah tidak wajar kerana dividen itu hasil pelaburan wang pencarum.
Dakwa beliau, ia naratif yang mengelirukan kerana kerajaan sendiri menguruskan wang lebihan dengan pantas.
“Tuntutan rakyat bukan menyentuh caruman asal, tidak minta keluar simpanan pokok, tidak minta usik wang untuk persaraan atau pengeluaran khas.
“Hanya minta dividen tahunan semasa keuntungan pelaburan dimasukkan 100 peratus ke Akaun 3,” katanya. – KOSMO! ONLINE














