fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Alor Gajah, Melaka, hari ini.

[VIDEO] Penceramah agama didakwa ‘sentuh’ isteri orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan dengan niat ingin mencabul wanita yang juga isteri orang, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Salleh Hamzah, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dr. Teoh Shu Yee.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 46 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9 pagi di sebuah Villa Balqis Pengkalan Balak, Masjid Tanah dalam daerah Melaka Tengah pada 1 Januari 2025.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Difahamkan, kes berlaku apabila suami mangsa yang juga merupakan pengikut kuliah agama tertuduh yang digelar ‘Tuan Guru’ menerima panggilan telefon memintanya menghantar isteri dan anak perempuannya ke villa berkenaan.

Setibanya di villa tersebut, tertuduh didakwa mengarahkan mangsa mengurut badannya serta memberi amaran kononnya akan ditimpa musibah sekiranya ingkar, selain mendakwa tindakan itu sebagai tidak menghormati ‘Tuan Guru’.

Suspek kemudian didakwa menolak mangsa ke atas katil dan melakukan perbuatan tidak senonohnya terhadap wanita berkenaan.

Selepas kejadian, mangsa dalam keadaan trauma membawa anaknya keluar dari villa berkenaan sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa sepanjang prosiding berjalan.

Peguam Muhammad Denial Khairul Hizam yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengharapkan sumbangan daripada orang ramai melalui program ceramah.

Hujahnya lagi, tertuduh juga menghidap radang perut dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta, selain mengalami masalah saraf di tulang belakang, bahu kiri dan kanan.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menetapkan nilai jaminan sebanyak RM3,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pendakwaan. Mahkamah turut menetapkan tarikh 14 April sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN