HAVANA – Empat orang ditembak mati dalam pertempuran bersenjata di luar pantai Cuba ketika cuba menyelamatkan saudara-mara mereka, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Havana dalam satu kenyataan berkata, penumpang sebuah bot berdaftar di negeri Florida melepaskan tembakan ke arah anggota-anggota Pengawal Pantai Cuba, hanya 1.8 kilometer dari dari pantai negara komunis itu.
Pengawal Pantai Cuba menghampiri bot haram itu untuk mengenal pasti penumpangnya.
Kru bot laju itu kemudian melepaskan tembakan, menyebabkan komander pasukan Pengawal Pantai cedera, demikian menurut Havana.
“Pertempuran tercetus dengan empat penyerang di dalam bot haram terbunuh dan enam yang lain cedera,” kata kenyataan tersebut.
“Individu yang cedera telah dipindahkan dan menerima rawatan perubatan,” tambahnya.
Kerajaan Cuba mengecam 10 individu di atas bot itu kerana mempunyai ‘niat pengganas’ dan mengatakan bahawa mereka bersenjatakan raifal.
Mereka yang berada di dalam bot laju itu adalah rakyat Cuba yang tinggal di Amerika Syarikat (AS), kata media kerajaan Cuba.
Mereka adalah sebahagian daripada flotila yang belayar untuk membawa keluar saudara-mara dari Cuba, lapor New York Times.
Seorang pegawai memberitahu akhbar itu bahawa ia bukan kapal milik Tentera Laut AS atau Pengawal Pantai negara itu. – AGENSI













