PETALING JAYA – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Melaka FC dengan keputusan agregat 8-1 pada pusingan suku akhir sebentar tadi.
Pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat itu, JDT yang memiliki bekalan selesa hasil kemenangan 5-0 pada aksi pertama masih membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan diketuai Joao Figueiredo, Ager Aketxe dan Jairo Da Silva.
Skuad Harimau Selatan bermula garang apabila melebarkan kelebihan agregat menerusi pemain pertahanan, La’Vere Corbin-ong pada seawal minit ke-7.
Momentum pasukan kendalian Xisco Munoz itu semakin ampuh apabila mendominasi sebahagian besar perlawanan dengan giliran Jairo mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-31.
Benteng tuan rumah terus dirobek apabila penyerang import dari Brazil itu meledak gol kedua peribadi ketika babak kedua baru bersambung sembilan minit menerusi rembatan tepat ke gawang lawan.
Namun, kealpaan di benteng pertahanan menyaksikan JDT dibolosi pada masa kecederaan menerusi penyudah pemain gantian, Ahmed Ayman Shamsaldin untuk memastikan keputusan 3-1 berakhir sehingga wisel penamat ditiupkan.
Kemenangan itu menyaksikan JDT bakal menentang Kuala Lumpur di pentas separuh akhir nanti. – KOSMO! ONLINE














