fbpx
Keadaan sebuah rumah yang terbakar di Kampung Tegayong, Melor dekat Kota Bharu kelmarin. – Ihsan keluarga

‘Dia menjerit-jerit kata ada orang mahu…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang dipercayai mengalami halusinasi bertindak luar kawalan apabila membakar rumah dan mengugut untuk membunuh ibu saudaranya dalam kejadian di Kampung Tegayong, Melor di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.12 petang, lelaki berusia 42 tahun yang menumpang di rumah ibu saudaranya, Faridah Kassim, 62, itu dicekup selepas beberapa jam melarikan diri.

Menurut menantu Faridah, Ismawati Ismail, 47, dia yang tinggal berse­belahan rumah ibu mentuanya menyedari kejadian itu selepas melihat kepulan asap dari rumah tersebut.
Ismawati juga merupakan sepupu kepada suspek tersebut.

“Saya terdengar beberapa kali letupan kecil dan jeritan sepupu saya menjerit meminta pertolongan. Saya terus jenguk ke luar dan melihat sepupu saya dalam keadaan cemas sambil meme­gang sebilah gunting dan botol berisi petrol.

“Pada masa sama, ibu mentua berlari keluar dari pintu belakang rumah untuk meminta bantuan saya supaya menghubungi bomba selepas melihat api marak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ujarnya, sebelum kejadian, suspek berada di dalam rumah bersama ibu mentuanya yang baru selesai membuat kuih-muih untuk dijual.

“Sepupu saya yang seperti dalam keadaan berhalusinasi tiba-tiba menjerit dan memaklumkan bahawa ada orang hendak membunuhnya. Dia kemudian masuk ke ruang dapur sambil membawa sebotol petrol sebelum menuangkan bahan api itu ke lantai dan mencucuh api.

“Ibu mentua saya terus bergegas mengambil sebaldi air untuk memadam api, namun dihalang suspek sebelum dia mengugut untuk membunuh warga emas itu dengan sebilah gunting jika berbuat demikian,” ujarnya.

Wanita warga emas itu keluar dari rumah sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamat dokumen penting dan wang tunai.

Katanya, dia melihat sepupunya hampir melecur semasa keluar dari rumah sebelum dia me­larikan diri dengan me­numpang motosikal orang awam.

“Difahamkan, sepupu saya itu dicekup polis di kawasan Melor beberapa jam selepas kejadian itu. Sebelum ini, dia tidak pernah berhalusinasi, tetapi hari ini (kelmarin) dia menjerit-jerit me­ngatakan ada orang yang mahu membunuhnya,” katanya.

Tambahnya, selain rumah, kebakaran itu turut memusnahkan empat buah motosikal selepas api marak dengan cepat.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Rizalman Che Ramli berkata, pihak bomba bergegas ke lokasi untuk mema­dam kebakaran selepas mene­rima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.14 petang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN