GEORGE TOWN – Memahami kekurangan diri menjadi kekuatan buat Ibrahim Othman yang merupakan orang kurang upaya (OKU) untuk menjana pendapatan menerusi siaran langsung di TikTok.
Bagi Ibrahim atau lebih mesra dipanggil Baim, 34, kemalangan tragis yang menimpa dirinya pada 25 Februari 2020 mengubahkan hampir seluruh kehidupannya apabila dia lumpuh disebabkan kecederaan saraf tulang belakang atau spinal cord injury.
Bekas atlet taekwondo yang pernah mewakili Malaysia itu kini hanya terlantar di atas katil.
“Biarpun lumpuh, saya perlu bangkit meneruskan kehidupan seperti orang biasa dengan sokongan daripada ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan.
“Saya mula terjebak melakukan siaran langsung di TikTok sejak setahun lalu. Mula-mula rasa malu dan kekok, tapi lama-kelamaan bila baca komen pengguna media sosial saya jadi seronok.
“Live (siaran langsung) bukan sekadar untuk menghiburkan diri, tetapi menyebarkan kisah hidup saya. Saya mahu ubah pemikiran pesakit yang senasib dengan saya kerana rata-ratanya sudah patah semangat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanjung Tokong, baru-baru ini.
Baim kini menetap bersama bapanya, Othman Ibrahim, 63, ibu, Haseena Mohamed Sultan, 54, dan adik perempuan.
Menurut Baim, sambil bersiaran, dia turut memperkenalkan produk yang bersesuaian termasuk sarung tangan robot untuk fisioterapi.
“Setiap hari, saya akan meluangkan masa bersiaran selama satu jam 30 minit. Penonton mencecah 1,000 orang. Adakalanya jumlah penonton berkurangan. Saya faham dan akan meneruskan aktiviti ini walaupun hanya memperoleh RM200 atau RM100 sebulan,” ujarnya.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, pendapatan yang diraih menerusi siaran langsung dan jualan di TikTok akan digunakan untuk membiayai kos rawatan fisioterapi.
“Macam-macam cara orang buat untuk menghargai kita. Ada yang beri semangat, ada yang bertanya tentang keadaan saya. Kadang-kadang ada orang bagi hadiah walau cuma sekuntum bunga. Itu sudah membuatkan hati saya seronok.
“Selain itu, ada netizen yang tuduh saya minta sumbangan derma. Saya cuma minta sokongan, kekuatan daripada semua orang dan berkongsi kisah hidup, bukannya meraih simpati atau sumbangan.Memang kecewa, tapi emak minta saya mengabaikan kata-kata negatif tersebut,” katanya.















