Las Vegas – Dua legenda tinju dunia, Floyd Mayweather Jr. dan Manny Pacquiao bakal kembali berentap dalam aksi ulangan sensasi pada 19 September ini, selepas lebih sedekad pertembungan epik mereka mencuri perhatian dunia.
Pertarungan semula itu menghidupkan kembali memori 2015 yang digelar sebagai ‘Fight of the Century’, apabila Mayweather menewaskan Pacquiao menerusi keputusan sebulat suara menerusi pertarungan yang dianggap paling lumayan dalam sejarah tinju.
Mayweather, 48, menamatkan karier profesionalnya pada 2017 dengan rekod tanpa kalah, manakala Pacquiao, 47, bersara pada 2021 sebelum kembali aktif beberapa tahun kemudian sekali gus membuka ruang kepada pertemuan semula yang lama dinantikan peminat.
Menurut laporan, aksi kali ini berpotensi berlangsung di Sphere dan akan disiarkan secara eksklusif menerusi platform penstriman Netflix, menjanjikan capaian global yang lebih meluas berbanding pertemuan pertama mereka.
Pertarungan 2015 kekal antara yang paling menguntungkan dalam sejarah sukan tinju, dengan jumlah hadiah keseluruhan dilaporkan melebihi £600 juta (sekitar RM3.14 bilion) sekali gus mengesahkan status kedua-duanya sebagai ikon komersial sukan dunia.
Mayweather dilaporkan membawa pulang sekitar £220 juta (RM1.15 bilion), manakala Pacquiao meraih kira-kira £122 juta (RM640 juta), angka yang sukar ditandingi oleh mana-mana pertarungan lain pada era moden.
“Jika Floyd bersedia kembali dan saya masih aktif dalam tinju, jadi ia sesuatu yang mungkin berlaku. Terdapat perbincangan mengenainya. Seperti yang saya katakan, saya gembira untuk berbincang dan membuka ruang ke arah pertemuan semula,” kata Pacquiao sebelum ini memberi bayangan keterbukaannya terhadap perlawanan ulangan itu.
Pertembungan dua legenda itu dijangka sekali lagi mencetus fenomena global, membuktikan aura dan nilai komersial mereka masih kukuh, sekali gus menghidupkan semula salah satu rivaliti paling ikonik dalam sejarah tinju profesional. – AGENSI














