KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan terburu-buru untuk membatalkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu mengenepikan tarif import yang diperkenalkan Presiden Donald Trump.
Ini kerana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan perlu diberi ruang dan masa untuk meneliti keputusan mahkamah itu.
Jelas beliau, sebarang keputusan yang diambil kelak perlu melihat soal kepentingan dan implikasinya kepada ekonomi negara.
“Mengapa kita nak terburu-buru, kerana Mahkamah Agung AS putuskan tiga hari yang lalu, hari ini kita kena putus ikut keputusan Mahkamah Agung, saya tidak setuju.
“Masih ada peruntukan-peruntukan yang digunakan yang akan mengenepikan perintah Mahkamah Agung.
“Kalau kita lihat sistem di Amerika Syarikat, penafsiran Mahkamah Agung itu adalah bahawa kuasa itu mengenakan tarif adalah kuasa Kongres. Jadi kita tunggu dulu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hasan Karim (PH-Pasir Gudang) yang menggesa supaya kerajaan membatalkan ART Malaysia-AS yang dimeterai tahun lalu itu.
Mengulas lanjut, Anwar bimbang sekiranya Kerajaan mengambil tindakan terburu-buru membatalkan perjanjian tersebut ia akan menjejaskan kepentingan negara.
“Yang penting kita itu bukanapa yang diputuskan mereka tapi apakah ia dapat pertahankan kepentingan perdagangan dan ekonomi Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE














