fbpx
Gambar hiasan

Naikkan gaji, bukan ‘tarah’ duit KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majikan di negara ini seharusnya menaikkan gaji pekerja dalam membantu golongan tersebut yang sedang berdepan kos sara hidup.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, tindakan itu harus diambil berat agar sebahagian pekerja tidak terus mengharapkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kelangsungan hidup.

“Ramai rakyat Malaysia terdesak menyebabkan mereka sangat memerlukan bantuan dan cuba mendapatkannya daripada KWSP.
“Mereka patut minta majikan bayar gaji lebih, kenapa minta KWSP untuk kompromi? Dengan pemikiran, ‘sekurang-kurangnya KWSP duit sendiri, tak minta duit orang lain’ itu akan mengorbankan masa depan mereka (kelak),” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya melihat kaedah lain untuk membantu rakyat termasuk meningkatkan pemberian subsidi.

“Kalau kita rasa kerana nak menyambut raya, sedia mengorbankan masa depan. Tentulah mereka kata, ‘apalah nak dikisahkan, masa depan kita ditentukan oleh Allah, bukan kerajaan, bukan siapa’.

“Kalau begitu maksudnya, kita tidak memerlukan KWSP sebenarnya, namun itu satu pandangan yang emosional,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, hasrat pencarum KWSP supaya semua dividen dikreditkan ke Akaun 3 (Fleksibel) sukar direalisasikan kerana perkara itu bukan boleh dilaksanakan serta-merta.

“Ia memerlukan satu perubahan dan perubahan ini perlu diluluskan dalam peraturan khas. Maknanya lamalah sikit, bukannya serta-merta. Jadi yang penting ia memerlukan komitmen kalau kerajaan bersetuju.

“Namun kerajaan hari ini merasakan KWSP telah ‘digugat’ semasa Covid-19, sehingga menyebabkan banyak pencarum terjejas masa depan mereka. Kalau boleh kerajaan tak mahu masuk campur aspek ini kerana ia boleh menjejaskan masa depan banyak kumpulan pencarum,” katanya

Baru-baru ini, ramai pencarum tersenyum apabila agihan dividen 2025 dijangka lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN