fbpx
Roti john tanpa inti daging dan cucur yang didakwa masih mentah merupakan antara aduan yang dikongsikan pembeli dalam media sosial sejak 1 Ramadan lalu.

Peniaga bazar tipu inti, tamak perlu bertaubat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Peniaga bazar Ramadan yang sengaja menipu pengunjung termasuk menjual juadah yang sudah basi atau tiada inti perlu segera bertaubat, memohon maaf atau memulangkan semula wang kepada pelanggan mereka.

Saranan itu diberikan Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman yang memberitahu, makanan tidak berkualiti, rosak, basi atau tidak setimpal dengan harga bukannya sekadar isu kepenggunaan, tetapi berkait rapat dengan amanah dan dosa dalam muamalat.

Lebih membimbangkan, katanya, keuntungan hasil jualan kerana perbuatan menipu atau memudaratkan pengguna boleh menjejaskan keberkatan rezeki terutama ketika Ramadan.

“Ramadan adalah bulan ibadah, bulan taqwa dan bulan keberkatan. Jika ada peniaga yang mengambil kesempatan menjual makanan yang rosak, basi, tidak cukup bahan misalnya roti john daging, tetapi tiada daging.

“Maka ia bukan sekadar kecuaian perniagaan, bahkan termasuk dalam unsur penipuan.

Dari segi hukum, jika benar peniaga itu menipu kualiti atau menyembunyikan kerosakan makanan dengan sengaja, maka dia wajib bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mohd. Sukki, langkah kedua yang perlu dilakukan peniaga tamak itu adalah dengan memohon maaf kepada pembeli sekiranya dapat dikenal pasti selain memulangkan wang atau menggantikan kerugian yang dialami pelanggan mereka.

Jelas beliau, dalam fiqh muamalat, pembeli mempunyai hak khiyar aib iaitu hak untuk membatalkan jual beli sekiranya terdapat ‘kecacatan’ yang tidak dimaklumkan.

“Dalam konteks hari ini, menjual makanan yang sudah berbau, basi atau tidak dimasak dengan sempurna sehingga memudaratkan kesihatan adalah lebih berat dosanya. Ini kerana ia melibatkan kemungkinan mudarat kepada orang lain,” ujarnya.

Mohd. Sukki berkata, pembeli juga harus bersikap adil kerana tidak semua peniaga bazar Ra­madan bersikap demikian.

“(Masih) Ramai yang berniaga dengan penuh amanah dan menjaga kualiti. Jangan kerana segelintir (peniaga), kita menuduh semua. Berniaga dalam Islam bukan sekadar mencari untung, tetapi mencari keberkatan.

“Untung yang sedikit tetapi berkat jauh lebih baik daripada untung besar yang mengundang dosa,” katanya.

Kelmarin, Kosmo! Ahad me­laporkan pengunjung bazar Ramadan meluahkan rasa kecewa terhadap kualiti makanan yang dijual pada bulan mulia itu. Mereka mendakwa ada makanan yang dibeli telah basi, berulat dan tidak menepati cita rasa selain dijual dengan harga mahal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN