PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dilaporkan mengalami gangguan pada waktu puncak pagi sehingga mencetuskan kesesakan luar biasa dalam kalangan penumpang terutamanya di laluan Kelana Jaya hari ini.
Menerusi beberapa hantaran pengguna LRT di media sosial, difahamkan tren tidak tiba seperti dijadualkan sekali gus menyebabkan penumpang terpaksa menunggu dalam tempoh yang agak lama di platform.
Tinjauan mendapati platform seperti Masjid Jamek, Pasar Seni dan Glenmarie mengalami sesak teruk apabila bilangan penumpang semakin ramai menunggu kerana ketiadaan tren.
“Sumpah tren pagi ni macam apa ya, dari 7.30 tunggu LRT, sampai 8.40 tak naik-naik lagi. Weh dugaan apa pagi Isnin ni,” komen NurAlyaAfiqah.
“Lebih 40 minit hari ini sebab masalah teknikal LRT Kelana Jaya. Aku dahlah nak balik awal, bulan puasa ni transit balik awal. Kalau tak sempat balik pada masa yang tepat kena bayar bayaran lebih masa ke cikgu,” komen Syaza pula.
“Masjid Jamek 7.56 pagi. Fuh sabarkan aku ya Allah,” komen Miemshamim sambil memuat naik gambar dan video memaparkan orang ramai bersesak dari eskalator menuju ke platform menunggu.
Sementara itu, RapidKL dalam kenyataan memaklumkan kekerapan tren Laluan Kelana Jaya pada waktu puncak pagi ini telah diselaraskan susulan beberapa tren dikeluarkan daripada perkhidmatan akibat isu teknikal.
“Ini menyebabkan tempoh menunggu menjadi lebih lama di platform. Pihak operasi mengambil maklum dan berusaha memastikan penumpang sampai ke destinasi dengan selamat.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran anda,” katanya. – KOSMO! ONLINE














