fbpx
Mohd. Zamri (kanan) memeriksa seorang pemandu bas ekspres di Terminal Bas MBKT, Kuala Terengganu semalam.

JPJ Terengganu pantau bas ekspres, lori perdagangan sampai Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan memberi tumpuan pematuhan dalam kalangan kenderaaan perkhidmatan awam (KPA) dan kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan sehingga musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada bulan depan.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, tumpuan itu diberikan ekoran KPA seperti bas ekspres popular dalam kalangan pengguna pada musim perayaan ini selain memastikan KPB seperti lori perdagangan tidak lagi menjadi pencetus kemalangan seperti yang kerap berlaku sebelum ini.

“Sepanjang Ops Tahun Baharu Cina (TBC) yang berakhir malam ini (kelmarin), kita masih mengesan kesalahan dan pelanggaran undang-undang dilakukan pengendali KPA dan KPB biarpun telah menurun.

“Sebanyak tujuh pengendali bas ekspres dan tiga lori perdagangan telah diambil tindakan sepanjang tempoh seminggu pelaksanaan Ops TBC di negeri ini,” katanya selepas memantau pergerakan bas ekspres di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini malam tadi.

Mohd. Zamri berkata, sebanyak 16 notis kompaun telah dikeluarkan terhadap pengendali KPA dan KPB atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV), cermin bas retak, tayar botak dan melanggar larangan pemanduan kenderaan berat pada musim perayaan.

Beliau berkata, sebuah bas ekpres dua tingkat yang membawa 65 penumpang telah ditahan di Terminal Bas MBKT pada Sabtu lalu ekoran pemeriksaan mendapati dua tayar belakangnya tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Kita tahan bas itu selama sejam agar tayar-tayar terlalu tipis itu ditukar serta-merta sebelum dibenarkan bertolak ke Kajang, Selangor.

“Langkah ini demi keselamatan penumpang bas ekspres berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN