SHAH ALAM – Seorang lelaki warga emas yang disyaki mengaku sebagai Rasul termasuk boleh bertemu Nabi Adam secara nyata dicekup pihak berkuasa semalam.
Individu berusia 65 tahun itu ditahan bersama tiga individu lain termasuk seorang wanita di sebuah premis di Rawang.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu menyatakan kepada pengikutnya bahawa telah bertemu Nabi Adam secara nyata pada waktu siang.
Jelasnya, individu itu mendakwa turut bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam selain para Rasul antara dua hingga tiga kali seminggu.
“Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah taman negara antara dua hingga tiga tahun lalu. Pengikutnya pula menyatakan individu itu utusan Allah dan segala perlakuannya dianggap sebagai suruhan Allah seperti tidak perlu solat atau berpuasa jika berasa letih atau uzur,” katanya hari ini.
Menurut Mohd. Shahzihan, siasatan dan penahanan itu dilakukan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku upacara atau perbuatan berhubung agama Islam yang bertentangan hukum syarak.
“Ini turut meliputi Seksyen 8 enakmen sama kerana disyaki mengisytiharkan diri sebagai Rasul dan mendakwa mengetahui perkara di luar pemahaman dan pengetahuan manusia.
“Menerusi tangkapan ini, JAIS dijangka menyelesaikan satu aduan mendakwa ada seorang individu mengaku dirinya sebagai Rasul dan mempengaruhi keluarganya yang tular pada 9 Februari lalu,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














