DOHA – Pemain No. 1 dunia, Carlos Alcaraz mempamerkan aksi tanpa belas kasihan apabila membelasah wakil Perancis, Arthur Fils dalam tempoh kurang 50 minit untuk menjuarai Terbuka Qatar awal pagi semalam.
Pilihan utama dari Sepanyol itu terlalu unggul dari awal hingga akhir apabila menukar lima daripada tujuh peluang break point sebelum menoktahkan kemenangan 6-2, 6-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Doha.
Kemenangan tersebut merupakan yang ke-12 buat Alcaraz musim ini, sekali gus menghadiahkannya gelaran ke-26 sepanjang karier selepas terdahulu menjuarai Terbuka Australia bulan lalu.
“Saya datang tahun ini dengan rasa ’dahaga’ untuk lebih banyak kejayaan. Permulaan musim ini sangat kuat. Ia bukan mudah, saya perlu kekal kuat dari segi mental bersama pasukan saya.
“Saya sedang bermain tenis yang hebat dan sangat gembira dengan minggu ini. Trofi ini amat bermakna buat saya,” kata Alcaraz yang pernah terkandas di suku akhir kejohanan sama tahun lalu.
Kejayaan di Doha hadir hanya 20 hari selepas Alcaraz muncul lelaki termuda dalam sejarah melengkapkan karier Grand Slam di Melbourne, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai peneraju generasi baharu tenis dunia.
Juara tujuh kali Grand Slam itu menetapkan ritma permainan seawal minit pertama apabila mematahkan servis Fils sebelum menguasai set pembukaan dalam tempoh hanya 28 minit.
Meskipun Fils yang berada di ranking ke-40 dunia itu sempat meraih satu mata yang disambut sorakan penonton, ia sekadar saguhati sebelum Alcaraz menamatkan set kedua dalam masa 24 minit. – AGENSI














