KOTA BHARU – Menjadi tradisi setiap tahun bagi keluarga Che Yam Mamat, 84, menyambut Ramadan dengan berbuka puasa bersama anak, cucu dan cicit yang pulang ke Kampung Kubang Edang, Peringat, di sini.
Warga emas yang mempunyai empat anak, 25 cucu dan 22 cicit itu bersyukur masih diberi kesihatan dan dapat bersahur dan berbuka dengan anak-anak, cucu dan cicit yang pulang.
Katanya, setiap kali Ramadan, semua anak, cucu dan cicit tetap pulang ke kampung.
“Walaupun saya tiada selera semasa berbuka, bila melihat riuh rendah cucu cicit, membuatkan saya kenyang dengan hidangan yang disediakan oleh anak dan menantu,” katanya.
Salah seorang anak Che Yam, Ariffin Mat, 69, berkata walaupun lima anaknya bekerja di luar Kelantan, setiap Ramadan mereka akan pulang ke kampung.
Katanya, dia yang mempunyai lima anak bekerja di luar Kelantan termasuk di Selangor, Melaka dan Kuantan, Pahang tetap akan pulang walaupun sehari.
“Dia akan memasak secara bergotong royong dengan anak-anak dan cucu untuk menyiapkan 10 hidangan untuk berbuka,” ujarnya.















