LONDON – Chelsea mempunyai skuad yang stabil untuk menampung isu kecederaan pemain ketika bersiap melayan kunjungan Burnley di Stamford Bridge, malam ini.
Pengurus Chelsea, Liam Rosenior mengakui sudah mengenal pasti pemain yang mampu mengisi posisi Marc Cucurella yang kini sah tidak dapat memperkuatkan pasukan pada perlawanan kali ini.
“Saya tidak boleh berikan tempoh yang tepat untuk mendapatkan semula khidmat Marc. Dia mengalami kecederaan hamstring dan adalah malang untuk tidak dapat menggunakan khidmat salah seorang pertahanan kiri terbaik dunia.
“Tetapi, kami masih ada Jorrel Hato dan Malo Gusto yang boleh bermain di posisi itu, jadi kami masih ada pemain yang bagus untuk menampung ketiadaan Marc,” katanya.
Bagaimanapun, Rosenior juga mampu menarik nafas lega apabila dua lagi watak penting pasukan, Cole Palmer dan Reece James sudah pun cergas, malah bersedia untuk dijadikan taruhan buat pasukan.
Rosenior mengesahkan dua pemain itu akan terus dipantau, begitu juga dengan pemain lain yang dianggap masih ada peluang untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan pada pertemuan dengan Burnley.
“Kedua-duanya bersedia untuk dipilih bagi menghadapi perlawanan kali ini, begitu juga dengan pemain lain. Kedua-duanya sudah berlatih dan pastinya kehadiran mereka akan jadikan kami bertambah kuat,” katanya. – AGENSI














