PETALING JAYA – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengharapkan semua dividen yang bakal diumumkan kelak dimasukkan terus sepenuhnya ke Akaun 3 (Fleksibel) sekali gus boleh digunakan untuk perbelanjaan bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Harapan itu disuarakan mereka menerusi komen-komen pada Instagram Kosmo! Online berhubung artikel pada ruangan Kata Editor bertajuk ‘Hadiah hari raya daripada KWSP’.
Malah, ada juga yang meninggalkan komen dengan ‘tag’ pada akaun rasmi Instagram Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan beliau mengambil perhatian terhadap pengumuman kadar dividen KWSP dimasukkan ke Akaun 3 (Fleksibel).
“Semua masuk Akaun 3,” komen pengguna Instagram Yanaothman_Official yang turut meletakkan ‘tag’ pada Instagram Anwar.
“Semoga tahun ini dividen bonus semua masuk Akaun 3, boleh kami beraya dengan happy (seronok) dan tenang,” komen Muhamad Aniff yang tidak lupa dengan ‘tag’ Instagram KWSP serta Perdana Menteri.
“Kalau masuk Akaun 1, Akaun 2 ‘pahit’, kalau Akaun 3, barulah ‘manis’,” komen Arfah Kamarulzaman secara berseloroh.
“Yang manis-manis untuk kakitangan swasta, semua masuk Akaun 3 boleh?,” komen Iamabdullahomar yang mengharapkan Perdana Menteri berbuat demikian.
Terdahulu, pencarum KWSP menunggu debaran pengumuman kadar dividen KWSP dijangka menjelang akhir Februari hingga awal Mac ini.
Berita gembira itu bakal menjadi manfaat kepada hampir 17 juta pencarum, dengan sembilan juta daripadanya adalah ahli aktif. – KOSMO! ONLINE














