fbpx
PENJAGAAN warga emas menjadi lebih mudah jika kita memahami sifat-sifat penyakit yang umumnya terjadi kepada mereka.– GAMBAR HIASAN

Prihatin penjagaan kesihatan warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APA dan ibu mampu menjaga ramai anak tapi belum tentu seorang anak boleh menjaga kedua-dua orang tuanya. 

Pernahkah anda tertanya-tanya sama ada anda mampu menjaga ibu bapa yang sudah tua dan perlukan penjagaan sepertimana penjagaan yang diberikan oleh jururawat di hospital? 

Sememangnya, menjaga orang tua tersayang bukanlah pilihan tetapi satu tanggungjawab. 

Jadi soalan seterusnya, bagaimana cara menjaga orang-orang tua? Menyuap makanan, menukar lampin atau memantau ubat-ubatan. Perkara-perkara yang nampak sangat rumit pada mulanya tetapi bakal menjadi lebih mudah dan lancar apabila ada ilmu di dada. 

Dengan kesabaran, kemahiran, dan persediaan, anda boleh memberi penjagaan yang bukan sahaja memastikan keselamatan dan keselesaan warga emas tetapi juga memelihara maruah serta kualiti hidup mereka.

Menjaga warga emas di rumah adalah tugasan yang boleh mendatangkan penat dari segi mental dan fizikal. 

Kadangkala, tanggungjawab ini boleh menyebabkan kekurangan tidur dan keletihan emosi, terutama apabila warga emas bergantung sepenuhnya kepada anda untuk urusan harian seperti makan, menggunakan tandas, menukar pakaian, atau menukar lampin. 

Dalam keadaan begini, anda perlu mengekalkan ketenangan, kesabaran dan kesefahaman.

Satu perkara yang sering diabaikan adalah kebersihan diri orang tua dan kemahiran penjaga. 

Menjaga kebersihan dan penampilan diri bukan sahaja penting untuk kesihatan warga emas tetapi juga memberi keselesaan serta mengekalkan maruah mereka.

Kemahiran pengurusan masa juga penting kerana warga emas biasanya mempunyai jadual harian untuk pengambilan ubat, waktu makan dan aktiviti. 

Pengurusan masa yang bijak boleh memastikan rutin harian berjalan lancar dan mengurangkan tekanan bagi penjaga serta pesakit.

Penjagaan warga emas akan menjadi lebih mudah jika anda memahami sifat-sifat penyakit yang umumnya terjadi kepada mereka seperti demensia, diabetes, artritis dan strok. Penjaga harus mengenali penyakit kronik ini serta amaran atau tanda-tanda awalnya.

Sebagai contoh, pesakit demensia sering mengalami kehilangan ingatan dan mungkin mengulangi soalan yang sama. Jika anda sudah mengenali simptom ini, anda akan lebih bersedia untuk menggunakan pendekatan penjagaan yang sesuai.

Penjaga juga perlu tahu apa yang perlu dilakukan dalam situasi kecemasan seperti kejatuhan, strok atau reaksi alahan. 

Kemahiran asas pertolongan cemas seperti membersihkan luka kecil, memberikan bantuan jika tercekik, dan merawat lecuran ringan adalah penting. Anda juga perlu belajar teknik untuk membantu warga emas berjalan, memindahkan barang atau menggunakan tandas bagi mengelakkan kejatuhan atau kecederaan. 

Mengetahui kesan sampingan ubat juga akan menyediakan anda untuk mengendalikan keadaan dengan lebih baik.

Dalam pada itu, kita juga perlu wujudkan ruang selamat untuk orang-orang tua, bermula dengan mengeluarkan risiko di kawasan sekeliling. 

Pastikan lantai bebas daripada halangan, gunakan alas kaki anti gelincir dan memindahkan permaidani longgar bagi mengurangkan risiko kejatuhan terutamanya bagi warga emas yang sedang pulih daripada tulang patah atau pembedahan.

Seterusnya, pastikan pencahayaan mencukupi. Semua bilik, laluan jalan dan tangga perlu diterangi dengan baik, terutamanya pada waktu malam. 

Untuk bilik mandi, pastikan lantai kering dan pasang palang-palang pemegang berhampiran tandas dan pancuran mandi. 

Kerusi mandi juga perlu digunakan dan pilih perabot yang kukuh seperti kerusi berlengan dan katil yang rendah. 

Akhir sekali, kekalkan suasana yang bersih dan tenang. 

Rumah yang tersusun dan senyap membantu mengurangkan tekanan dan kekeliruan, terutamanya bagi pesakit demensia.

Sementara itu, ramai warga emas sering berasa sunyi, cemas atau murung, terutamanya jika mereka tinggal bersendirian atau telah kehilangan orang tersayang. 

Kehidupan mereka akan lebih ceria dengan kewujudan teman bicara, dorongan dan sokongan emosi.

Anda boleh meluangkan masa berkualiti dengan mereka untuk berbual atau menganjurkan sesi minum petang. 

Kehadiran anda adalah cukup untuk membuat mereka berasa dihargai dan disayangi.

Warga emas digalakkan untuk mengekalkan hubungan sosial. 

Anda boleh membantu warga emas berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan mereka melalui panggilan telefon, panggilan video atau lawatan. 

Jika ada kemampuan fizikal, bawa mereka ke majlis keluarga atau aktiviti luar.

Tunjukkan sokongan anda dalam sebarang aktiviti sihat yang mereka minat seperti berkebun, mengait, membaca atau mendengar muzik. 

Ini membantu minda kekal aktif dan menceriakan hari mereka. 

Jika mereka kelihatan sedih, beri sokongan emosi dengan bersabar, bersikap lembut dan bertimbang rasa. 

Biarkan mereka meluahkan perasaan dan kebimbangan mereka. 

Akhir sekali, raikan sebarang peristiwa positif seperti hari lahir, perayaan atau apa-apa sahaja kejayaan kecil seperti hasil kerja yang sudah siap. 

Ini semua boleh menggembirakan hati mereka dan membuat mereka berasa dihargai.

Dalam masa yang sama, komunikasi memainkan peranan penting dalam penjagaan warga emas. 

Ia membina kepercayaan, mengurangkan kekeliruan dan memastikan keperluan warga emas difahami serta dipenuhi.

Bagi warga emas yang mengalami demensia atau masalah pendengaran, komunikasi mesti dilakukan dengan lebih prihatin dan penuh kesabaran.

Ada yang mengambil masa untuk memberi respons, ada yang kerap mengulangi soalan yang sama atau lupa perkataan yang dimaksudkan. 

Penjaga harus bertenang dan tidak menunjukkan tanda kemarahan. 

Nada suara hendaklah lembut, jelas dan hormat. 

Percakapan bernada tinggi dan marah boleh menakutkan atau mengelirukan pesakit demensia.

Bahasa badan juga penting dengan senyuman mesra, kontak mata dan postur terbuka membantu mereka berasa selamat dan difahami.

Bagi mereka yang mempunyai masalah pendengaran, duduk berhadapan dengan mereka, bercakap dengan jelas tanpa meninggikan suara dan tulis mesej ringkas jika perlu. 

Gunakan juga isyarat tangan.

Jika anda menjaga pesakit strok yang mengalami kesukaran bertutur, dengarlah dengan sabar. 

Bagi mereka masa untuk menyusun kata dan cuba menggunakan isyarat tangan atau gambar untuk berkomunikasi.

Sementara itu, kebersihan diri sangat penting untuk kesihatan, keselesaan dan maruah warga emas, terutamanya bagi orang yang kurang upaya atau bergantung sepenuhnya kepada anda.

Jika tidak dapat dimandikan setiap hari, warga emas perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu. 

Gosok gigi dua kali sehari dengan pembersih yang sesuai. 

Elakkan mulut kering dengan menggunakan ubat kumur tanpa alkohol dan memastikan air minuman bersih sentiasa sedia ada.

Lembapkan kulit dengan losen setiap hari untuk mengelakkan kekeringan dan rekahan. 

Periksa badan pesakit untuk tanda kudis katil, terutamanya jika pesakit kurang bergerak atau terlantar di katil. 

Potong kuku dengan kerap untuk elakkan sebarang jangkitan. 

Cuci rambut seminggu sekali atau mengikut keperluan warga emas. 

Untuk warga emas lelaki, cukur bulu muka dengan berhati-hati supaya tidak terluka.

Ada warga emas yang enggan dibantu kerana malu, keliru (terutamanya jika ada demensia), takut jatuh atau berasa tidak lagi bebas untuk menjaga diri sendiri. 

Untuk memudahkan penjagaan, penjaga harus menghormati privasi mereka, menerangkan setiap langkah komunikasi dengan tenang dan bergerak dengan perlahan. 

Gunakan muzik lembut atau perbualan untuk menenangkan mereka. 

Jika penjaga masih menghadapi kesukaran, mereka dinasihati mendapat pandangan doktor atau pakar geriatrik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN