JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan terus menjadi sandaran pasukan kebangsaan bagi mengharungi jadual kejohanan yang cukup padat tahun ini meskipun usia sudah menginjak 38 tahun.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, bekas juara dunia keirin itu akan membuat kemunculan semula dengan menyertai beberapa kejohanan utama.
Beliau menjelaskan, kejohanan-kejohanan itu penting buat Azizulhasni bagi membolehkan dia menyesuaikan diri dengan saingan kompetitif dalam persiapan ke arah temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun September depan.
“Saya rasa Azizulhasni akan mengambil bahagian pada saingan Piala Dunia Trek di Perth, Australia bermula 6 hingga 8 Mac nanti. Dia juga dijangka beraksi pada Kejohanan Asia di Filipina bermula 25 hingga 31 Mac.
“Kemudian, pada 24 hingga 26 April adalah pusingan akhir Piala Dunia Trek di Nilai kerana sasaran utama adalah Sukan Asia. Azizulhasni juga mungkin akan mengambil bahagian pada Kejohanan Dunia di China,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri menegaskan, slot ke Sukan Asia untuk acara keirin dan pecut tetap terbuka biarpun Azizulhasni memegang status sebagai legenda berbasikal trek negara.
Beliau menjelaskan, pemilihan atlet ke Sukan Asia nanti dilakukan secara adil kerana penilaian akan dibuat terhadap prestasi semasa, lebih-lebih lagi persaingan semakin sengit dalam kalangan pelumba negara.














