SHAH ALAM – Memasuki bulan Ramadan yang mulia, pelakon Anzalna Nasir mula mendidik putera sulungnya, Mohamad Eidress mengenali erti ibadah berpuasa tahun ini.
Bagaimanapun, Anzalna atau nama lengkapnya Nur Anzalna Md. Nasir, 38, tidak meletakkan sebarang paksaan sebaliknya membiarkan Eidrees belajar mengikut kemampuannya sendiri.
“Eidrees tahun ini baru saya nak latih dia berpuasa, mahu cuba lah.
“Sebab baru nak latih dia, kalau dia nak berbuka, saya bagi saja sebab dia masih kecil.
“Tapi saya kenalah mula awal,” katanya kepada Kosmo! Online.
Berkongsi lanjut, pelakon drama Aku Isterinya itu mendedahkan keinginan untuk berpuasa lahir dari rasa ingin tahu Eidress apabila melihat rutin harian ibu bapanya setiap kali tibanya Ramadan.
“Perbualan menjanjikan apa-apa kalau puasa penuh, belum mula lagi.
“Sebelum ini dia tengok saya berpuasa dia akan tanya ‘kenapa mommy dan daddy berpuasa’ dan dia pun nak puasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata itu menyimpan hasrat untuk membantu golongan yang memerlukan sepanjang bulan mulia ini.
“Saya harap dengan rezeki Allah bagi, saya boleh kongsi dengan ramai orang pada bulan puasa tahun ini,” tuturnya.
Terdahulu, Anzalna dan Muhammad Hanif Zaki mendirikan rumah tangga pada 2016.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Eidrees, 7 dan Mohamad Emirhan yang kini berusia empat tahun. – KOSMO! ONLINE














