PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa mana-mana pembinaan rumah ibadat mesti mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan di negara ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah sebuah ‘negara hukum’ dan semua pihak dikehendaki mematuhi apa sahaja yang ditetapkan undang-undang.
“Sepertimana kuil-kuil hindu, sembahyanglah sebanyak mana nak dia (mereka) pun. Buatlah kuil di mana pun tapi ikut peraturan. Tak boleh pacak kuil atau berhala di mana sahaja, tak boleh.
“Ada yang jawab surau di mana-mana, boleh buat, tak betul. Saya tahu dalam sejarah kita, surau di Perak pernah dirobohkan kerana melanggar peraturan.
“Jadi, saya harap perkara ini sepatutnya kita selesaikan dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Selain itu, beliau mengakui pelbagai isu berlegar termasuk melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kuil dan dakwah.
Anwar berkata, beliau turut mengingatkan pihak yang terbabit dalam kegiatan dakwah supaya mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
“Saya terlibat juga dalam kegiatan-kegiatan dakwah dulu. Tapi, kalau nak buat dakwah jangan mengganggu lalu lintas dan ikut peraturan.
“Buatlah dakwah, tak ada sekatan sama sekali tapi ikutlah peraturan. Itu sahaja yang kita minta,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang menutup dan merampas reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE














