KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kes khianat dengan memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sekitar Jinjang, Sentul di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 67 tahun itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kira-kira pukul 3.21 petang tadi.
Menurutnya, modus operandi suspek adalah dengan masuk ke dalam kawasan mesin ATM sebelum memecahkan skrin menggunakan objek dipercayai batu.
“Hasil soal siasat mendapati suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis merampas beberapa barangan yang digunakan semasa kejadian termasuk pakaian, motosikal, topi keledar dan seketul batu.
“Dengan tertangkapnya suspek tersebut, kita berjaya menyelesaikan lima kes khianat pecah skrin mesin ATM yang dilaporkan sebelum ini.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pertuduhan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, polis giat mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes khianat sehingga menyebabkan 12 buah mesin ATM pecah di Jinjang Utara dan Jinjang Selatan kelmarin.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) suspek yang bertopi keledar masuk ke dalam dan memecahkan skrin mesin ATM menggunakan objek dipercayai batu sebelum melarikan diri. – KOSMO! ONLINE














