PETALING JAYA – Perdana Menteri menyeru umat Islam di negara ini agar menjadikan bulan Ramadan sebagai medan pembentukan takwa, pengukuhan disiplin diri serta pemantapan integriti dalam melaksanakan amanah harian.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook turut melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk bertemu kembali bulan yang mulia dan dirindui umat Islam.
“Tuntutan ibadah puasa dan segala amalan lain dalam Ramadan bukan semata-mata memenuhi syarat dan rukun, namun lebih daripada itu adalah mencapai matlamat hikmah dan objektif syariat ini.
“Puncak kenikmatan disebalik amalan ini adalah pencapaian takwa yang harus dilaksanakan dengan ibadah puasa melalui proses tarbiyah pembentukan watak, berakar kepada kesedaran hati nurani dan kewaspadaan batin yang dibangkitkan oleh rasa takut kepada Allah SWT,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, motivasi dalam melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadan harus didorong dengan semangat mujahadah.
“Bukan sahaja mengapai cita-cita ukhrawi tetapi pada masa yang sama akan meningkatkan disiplin kendiri, keinginan berkerja dengan sepenuh hati dalam tugas serta tanggungjawab harian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














