QUITO – Penduduk sebuah bandar di Equador dibelenggu ketakutan apabila menemui dua guni berisi lapan kepala manusia yang dipenggal di tepi jalan raya, lapor akhbar Mirror UK.
Kepala-kepala tersebut ditemukan di Naranjal, wilayah Guayas beserta nota bertulis ‘Dilarang Mencuri’, kata Komander Polis Guaya, Kolonel Marcelo Castillo.
Teori utama di sebalik penemuan mengerikan itu adalah pertempuran ganas antara kumpulan penjenayah, demikian menurut pihak berkuasa.
Pendakwa raya mengarahkan kepala-kepala itu dibawa ke bilik mayat di Naranjal untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti identiti kesemua mangsa.
Polis tempatan melancarkan siasatan dengan konflik antara kumpulan-kumpulan penjenayah dijadikan petunjuk awal.
Mangsa-mangsa yang kepalanya ditemui dikenal pasti sebagai lelaki yang dianggarkan berusia antara 16 hingga 22 tahun.
Setakat ini, tujuh daripada lapan mangsa telah dikenal pasti.
Ahli keluarga mangsa dilaporkan enggan bercakap mengenai insiden itu, manakala pakar forensik, Fidel Penaranda menyatakan, kepala-kepala itu dipercayai dipenggal kira-kira 60 jam sebelum ditemukan – AGENSI














