LONDON – Bukayo Saka dilaporkan muncul sebagai pemain yang menerima gaji paling mahal dalam skuad Arsenal selepas bersetuju untuk menandatangani lanjutan kontrak baharu.
Saka dikatakan bersetuju dengan lanjutan lima tahun dan dilaporkan akan menerima gaji £300,000 (RM1.58 juta) seminggu.
Pengurus pasukan, Mikel Arteta juga mahu menagih khidmat dan kualiti Saka sebagai pemain yang akan berperanan di posisi nombor 10.
“Saya fikir ia juga cabaran kepadanya untuk tampil lebih baik dan membuktikan sesuatu. Saya rasa kami mampu memperoleh sesuatu daripadannya dan sudah pasti ia adalah perkara yang positif,” katanya.
Berita ini hadir selepas Arsenal berjaya mendapatkan tandatangan William Saliba, Gabriel Magalhaes, Ethan Nwaneri dan Myles Lewis-Skelly bagi membolehkan pemain itu kekal lebih lama bersama pasukan.
Untuk rekod, Saka menjaringkan tujuh gol dalam 33 penampilan bersama Arsenal musim ini dan The Gunners kini sedang berjuang untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 2004.
The Gunners juga dijangka akan mengadakan rundingan untuk melanjutkan kontrak Jurrien TImber dan Declan Rice. – AGENSI














