PETALING JAYA – Masyarakat Islam di negara ini dibolehkan mengucapkan Gong Xi Fa Cai atau Selamat Tahun Baharu Cina termasuk menjamah hidangan Yee Sang yang diyakini halal.
Menurut perkongsian pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun yang memetik rujukan daripada Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan, hal ini kerana ia tidak bercanggah dengan akidah Islam dan merupakan perayaan budaya.
Katanya, maksud sebenar Gong Xi Fa Cai ialah tahniah dan semoga mendapat rezeki.
“Bagaimanapun, wajib bagi umat Islam meraikan sambutan ini mengikut garis panduan ditetapkan agar tidak melanggar sebarang batas syariat Islam,” katanya.
Sehubungan itu, hukum menyambut Tahun Baharu Cina adalah dibolehkan sekiranya ada keperluan kerana ia sambutan adat semata-mata dan tidak ada kaitan dengan akidah.
“Perayaan ini menjadi penanda aras suatu hubungan antara Muslim dengan golongan bukan Muslim. Syaratnya, kita tidak sekali-kali reda terhadap akidah mereka dan sambutan ini hanya sebagai tanda persahabatan serta atas dasar kemasyarakatan semata-mata.
“Namun, perlu diingatkan, saudara baru (mualaf) yang meraikan sambutan ini perlu diniatkan atas dasar menziarahi, menghormati dan memuliakan keluarga sahaja.
“Bukan meraikannya sebagai satu perayaan kerana pada dasarnya sambutan ini bukan sambutan perayaan umat Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














