BAGAN SERAI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) pada semua kereta peronda sebagai langkah memperkukuh ketelusan, integriti serta keberkesanan penguatkuasaan trafik di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid untuk pertimbangan dan kelulusan lanjut.
“Langkah ini bertujuan memastikan setiap tindakan penguatkuasaan direkodkan secara telus dan boleh dijadikan rujukan sekiranya berlaku sebarang pertikaian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melakukan pemantauan Zon Utara Sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol arah utara di Bagan Serai hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, aliran trafik di lebuh raya utama serta jalan persekutuan dijangka meningkat bermula esok susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali bekerja selepas cuti perayaan.
Katanya, pihaknya menjangkakan pertambahan jumlah kenderaan terutama dari arah utara dan selatan menuju ke ibu negara, sekali gus berpotensi menyebabkan kesesakan pada waktu puncak.
Sehubungan itu, seramai 10,000 pegawai dan anggota digerakkan sepanjang pelaksanaan Op Selamat dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita menjangkakan pergerakan kenderaan akan meningkat bermula awal pagi hingga lewat malam. Pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan, mengelakkan waktu puncak serta sentiasa mematuhi arahan anggota bertugas,” katanya. – KOSMO! ONLINE














